GREALISH berjaya memberikan persembahan terbaik walaupun England kalah. FOTO AFP
GREALISH berjaya memberikan persembahan terbaik walaupun England kalah. FOTO AFP
AFP

London: Aksi terpuji Jack Grealish bersama England seakan memberi sinar walaupun pasukan bimbingan Gareth Southgate tumpas 0-2 kepada Belgium dalam perlawanan Liga Negara-Negara UEFA yang menyaksikan mereka terlepas beraksi di peringkat kalah mati.

Pemain tengah berusia 25 tahun itu membuktikan mengapa pengurus Aston Villa, Dean Smith berkata beliau akan cuba mendapatkan gandingan mantap buat Grealish selepas dia menandatangani kontrak baru.

Pujian kepada Grealish dilihat mengubah pandangan terhadap England yang mengalami kekalahan beturut-turut dalam aksi kompetitif buat kali pertama sejak September 2018, sekali gus menimbul tanda tanya mengenai perubahan formasi dilakukan Southgate.

Pengendali England itu mengubah formasi 4-3-3 yang menyaksikan Three Lions meledak 37 gol dalam lapan perlawanan kelayakan Euro 2020 kepada 5-2-3 tatkala mereka mampu meledak tiga gol bagi lima perlawanan Liga Negara-Negara UEFA.

Southgate memuji aksi Grealish yang kali pertama diturunkan dalam perlawanan kompetitif.

"Saya melihat dia sangat luar biasa dan dia juga sudah tentu gembira dengan cara permainannya sendiri.

"Hari ini (semalam) adalah perlawanan yang sangat baik untuk melihat tahap permainannya dan saya tidak mampu untuk menyangkal persembahannya," kata Southgate.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 November 2020 @ 8:48 PM