AKSI Sterling ketika England menentang Perancis di Piala Dunia Qatar.  FOTO Reuters
AKSI Sterling ketika England menentang Perancis di Piala Dunia Qatar. FOTO Reuters
AFP

London: Gareth Southgate berkata, pintu masih terbuka 100 peratus untuk Raheem Sterling selepas menyisihkan penyerang Chelsea itu daripada skuad England bagi menghadapi baki saingan kelayakan Euro 2024.

Southgate yang skuadnya sudah memastikan tempat di kejohanan berlangsung di Jerman tahun depan menyenaraikan 25 pemain untuk aksi di tempat sendiri menentang Malta pada 17 November dan kunjungan ke North Macedonia tiga hari kemudian.

Sterling yang mempunyai 82 kap dan 20 gol untuk England tidak beraksi dengan skuad kebangsaan sejak Piala Dunia di Qatar tahun lalu di mana England layak ke suku akhir.

"Pintu terbuka 100 peratus bukan sahaja untuk Raheem tetapi pemain lain," kata Southgate. "Tiada keraguan mengenainya.

"Kami tak perlu tahu kualiti dan personalitinya. Dia pemain penting sejak beberapa tahun lalu."

Namun pengurus England itu berkata, sukar untuk mengetepikan pemain lain yang sedang berada di kemuncak prestasi bagi memberi ruang kepada Sterling yang menjaringkan empat gol untuk Chelsea musim ini.

"Dia tidak bersama kami pada Mac dan Jun ketika pasukan beraksi dengan baik," katanya. "Kami menang di Itali kali pertama sejak 60 tahun lalu. Dua aksi pada Jun juga sangat bagus, jadi kami kekal dengan skuad yang ada," katanya.

"Tiada persoalan Raheem nampak berbahaya bersama kelabnya. Dia konsisten sejak permulaan musim tapi dia tetap perlu bersaing jika mahu mendapatkan semula dalam skuad kebangsaan."

Senarai pemain England:

Penjaga gol: Sam Johnstone (Crystal Palace), Jordan Pickford (Everton), Aaron Ramsdale (Arsenal)

Pertahanan: Levi Colwill (Chelsea), Lewis Dunk (Brighton), Marc Guehi (Crystal Palace), Harry Maguire (Manchester United), Fikayo Tomori (AC Milan/ITA), Kieran Trippier (Newcastle), Kyle Walker (Manchester City)

Pemain tengah: Trent Alexander-Arnold (Liverpool), Jude Bellingham (Real Madrid/ESP), Conor Gallagher (Chelsea), Jordan Henderson (Al-Ettifaq/KSA), Kalvin Phillips (Manchester City), Declan Rice (Arsenal)

Penyerang: Jarrod Bowen (West Ham), Phil Foden (Manchester City), Jack Grealish (Manchester City), Harry Kane (Bayern Munich/GER), James Maddison (Tottenham), Marcus Rashford (Manchester United), Bukayo Saka (Arsenal), Ollie Watkins (Aston Villa), Callum Wilson (Newcastle)

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 November 2023 @ 9:03 AM