Marcus Rashford (kanan) menjaring gol pembukaan England. FOTO EPA.
Marcus Rashford (kanan) menjaring gol pembukaan England. FOTO EPA.
AFP

PENGURUS England, Gareth Southgate berjanji skuadnya sudah belajar daripada melakukan kesilapan selepas tewas kepada kebangkitan Belanda yang menempah tempat ke final Liga Negara-Negara Eropah selepas mengalahkan Three Lion, 3-1.

Kekalahan itu bermakna penantian England untuk memenangi trofi sejak kali terakhir dimenangi pada 1966 berterusan dan Belanda akan bertemu Portugal pada awal pagi Isnin ini.

Penalti disempurnakan Marcus Rashford memastikan England di depan pada separuh masa pertama.

Namun, Matthijs de Ligt menebus kesilapannya menerusi gol penyamaan, sebelum kesilapan John Stone dan Ross Barkley serta jaringan sendiri Kyle Walker ketika permainan diheret ke masa tambahan membuatkan mereka kempunan.

"Saya fikir ia perlawanan sangat penting untuk kami imbas kembali," kata Southgate. "Kami akan mengharungi beberapa hari yang menyakitkan selepas ini kerana kami sudah berada di tahap ini tetapi kami akan kembali lebih kuat disebabkan pengalaman ini."

Southgate turut mempertahankan keputusannya untuk merehatkan tujuh pemain yang beraksi di final Liga Juara-Juara termasuk kapten, Harry Kane dan Jordan Henderson di bangku simpanan.

Malah dia turut menegaskan pasukannya perlu lebih bijak dalam usaha mengeluarkan bola daripada kawasan bahaya susulan kesilapan yang dilakukan Stones dan Barkley.

"Jika kami tidak bermain seperti itu kami tidak akan bergerak menjadi pasukan terbaik," kata Southgate. "Itulah cara yang saya percaya mereka boleh mainkan dan sepatutnya bermain.

"Kesilapan itu tiada ciri-ciri tertentu, ia hanyalah pelaksanaan yang lemah dan keletihan. Saya tidak perlu bertindak melulu disebabkan perkara itu dan memberi sokongan kepada semua orang bagi menempuh tempoh yang sukar ini."

Kemaraan England ke separuh akhir Liga Negara-Negara meneruskan aksi baik skuad itu di Piala Dunia tahun lalu tetapi Belanda sudah dua kali tidak layak bermain di kejohanan utama pada Euro 2016 Piala Dunia di Rusia.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Jun 2019 @ 1:17 PM