HAMIDIN (kanan) harap jurulatih Pan Gon dan pemain akan dapat menterjemahkan dengan keputusan yang baik. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Malaysia
HAMIDIN (kanan) harap jurulatih Pan Gon dan pemain akan dapat menterjemahkan dengan keputusan yang baik. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Malaysia
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin mahu skuad kendalian Kim Pan-gon menggunakan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri untuk mencipta sejarah layak ke Piala Asia tahun depan.

Jelas Hamidin, beraksi di depan penyokong sendiri sepanjang tiga aksi Kumpulan E Kelayakan Piala Asia di Stadium Nasional Bukit Jalil itu harus dimanfaatkan dan perkara itu sudah diingatkan kepada pemain negara.

"Saya fikir untuk Kejohanan Piala Asia ini kita dah bida sebaiknya untuk diadakan di Kuala Lumpur dan ini peluang terbaik buat peminat datang memberi sokongan.

"Pemain-pemain juga sedar dan sudah dimaklumkan ketika pertemuan saya dengan mereka, dan mereka mahu berikan yang terbaik. Saya fikir pemain akan berikan persembahan yang terbaik untuk perlawanan dengan Turkmenistan, mahupun Bahrain dan Bangladesh.

"Jadi kita pun sudah buat apa sepatutnya yang kita kena buat dan persiapan untuk pasukan ini, kita harap jurulatih Kim Pan-gon dan pemain akan dapat menterjemahkan dengan keputusan yang baik," katanya.

Kali terakhir pasukan negara layak secara merit ke Piala Asia adalah pada 1980 yang berlangsung di Kuwait, manakala pada 2007 skuad kebangsaan beraksi di saingan itu sebagai pasukan tuan rumah bersama tiga lagi negara Asia Tenggara iaitu Thailand, Vietnam dan Indonesia.

Menurut Hamidin lagi, beliau mengingatkan pemain agar tidak memandang mudah setiap lawan yang ditemui.

"Kalau kita lihat juara kumpulan akan layak automatik dan lima naib juara terbaik daripada enam kumpulan pun akan layak. Jadi tiga perlawanan (Kumpulan E) ini mustahak.

"Maknanya sudah tentu perlawanan pertama ini kita dapatkan tiga mata sebelum kita berfikir turun menentang Bahrain dan Bangladesh. Jurulatih pun cukup memahami tentang situasi ini dan kita perlu mendapatkan tiga mata dengan Turkmenistan nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Jun 2022 @ 8:10 PM