AKSI yang dipamerkan De Paula pada perlawanan persahabatan menentang Hong Kong kurang memuaskan. FOTO ASWADI ALIAS
AKSI yang dipamerkan De Paula pada perlawanan persahabatan menentang Hong Kong kurang memuaskan. FOTO ASWADI ALIAS
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pengendali skuad Harimau Malaya Kim Pan-gon sudah mula boleh melupakan khidmat pemain naturalisasi dalam membariskan kesebelasan utama pasukan bagi mengharungi kempen kelayakan Piala Asia 2023 bermula Rabu depan.

Bekas pemain kebangsaan Datuk Jamal Nasir Ismail berkata, berdasarkan dua perlawanan persahabatan menentang Brunei dan Hong Kong baru-baru ini mendapati kehadiran pemain naturalisasi dalam skuad kebangsaan hanya mengganggu rentak permainan sekali gus merencatkan perancangan Pan-gon dalam misi memburu kemenangan kelak.

Malah kehadiran pemain seperti Mohamadou Sumareh, Guilherme de Paula dan Liridon Krasniq dalam barisan akhir pemain nanti akan lebih menimbulkan persoalan di kalangan penyokong bola sepak negara berkaitan kriteria yang ditetapkan oleh Pan-gon sehingga pemain berkaitan terus diberikan tempat dalam pasukan Malaysia.

"Apa lagi yang nak dibuktikan kerana tiga pemain ini sudah diberikan peluang untuk mempamerkan aksi masing-masing pada perlawanan persahabatan namun hasilnya boleh dikatakan seperti 'menghabiskan beras saja'.

"Saya tak tahulah apa kepentingan jika mereka disenaraikan atau mungkin ada 'harga' yang perlu dibayar pihak tertentu namun demi pasukan bola sepak negara jangan pakai pemain naturalisasi.

"Sekarang ini terbukti pemain tempatan lebih baik daripada mereka. Adakah kriteria dipilih bersandarkan status mereka semata-mata atau prestasi… Jika prestasi kita kena berikan tempat pada pemain yang layak," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Berdasarkan kepada senarai pemain yang diturunkan pada aksi menentang Hong Kong baru-baru ini, rata-rata melihat kemungkinan itu adalah skuad bayangan yang dipilih bagi mengharungi kempen kelayakan Piala Asia 2023.

Namun, aksi yang dipamerkan Sumareh dan De Paula pada perlawanan persahabatan menentang Hong Kong kurang memuaskan sekali gus menimbulkan rasa tidak puas hati penyokong bola sepak Malaysia terhadap kehadiran pemain terbabit.

Ketika ini Pan-gon boleh dikatakan agak pening kepala untuk memilih barisan pemain terbaik berikutan anak buahnya menunjukkan prestasi memuaskan pada dua aksi perlawanan persahabatan itu.

Pan-gon perlu menyingkirkan enam daripada 29 pemain untuk disenaraikan bagi mengharungi perlawanan Kumpulan iaitu menentang Turkmenistan pada 8 Jun, Bahrain (11 Jun) dan Bangladesh (14 Jun).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Jun 2022 @ 8:55 PM