MANE beri bayangan akan meninggalkan Liverpool. FOTO AFP
MANE beri bayangan akan meninggalkan Liverpool. FOTO AFP
Agensi

London: Sadio Mane mengejutkan wartawan apabila mendedahkan dia akan melakukan apa sahaja 'yang rakyat Senegal mahu' apabila memberitahu bahawa '60 hingga 70 peratus' rakyat di negaranya mahu dia meninggalkan Anfield.

Mane dikaitkan akan meninggalkan Anfield pada musim panas ini dan gergasi Bundesliga Bayern Munich disebut-sebut sebagai destinasi seterusnya untuk pemain itu.

Pemain berusia 30 tahun itu kekal membisu berhubung masa depannya namun pada sidang akhbar semasa tugasan antarabangsa bersama Senegal, Mane memberi petunjuk paling jelas bahawa kariernya bersama Liverpool sudah sampai ke penghujungnya.

"Saya menghormati peminat dan pasukan tetapi 60 hingga 70 peratus rakyat Senegal mahu saya meninggalkan Liverpool? Saya akan lakukan apa yang mereka mahu," katanya.

Dengan keinginan untuk memastikan penyokongnya di Senegal gembira dengan keputusannya, kenyataan terbarunya itu menunjukkan bahawa Mane akan meninggalkan Anfield pada musim panas ini.

Mane baru-baru ini dilaporkan tertarik dengan perpindahan ke Bayern Munich dan difahamkan gergasi Bundesliga itu sememangnya berada dalam situasi terbaik untuk mendapatkannya.

Pengarah Sukan Bayern, Hasan Salihamidzic dikatakan sudah mengemukakan tawaran bernilai sekitar £17 juta (RM93.1 juta) semusim kepada Mane.

Paris Saint-Germain (PSG) juga memerhatikan keadaannya, tetapi Mane tidak akan berhijrah ke negara lain selain di Jerman bersama Bayern.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Jun 2022 @ 10:58 AM