MANE kini milik Bayern.
MANE kini milik Bayern.
Agensi

London: Liverpool mencapai persetujuan dengan Bayern Munich mengenai penjualan Sadio Mane selepas penyerang Senegal itu mahu berpindah dari Liga Perdana ketika kontrak berbaki setahun.

Gergasi Bundesliga, Bayern mahu memperkasakan bahagian serangan selepas pengunduran Robert Lewandowski dan kini terma perjanjian bernilai £35 juta (RM188.28 juta) dengan kontrak tiga tahun telah dipersetujui, menurut Sky Sports.

Pemain berusia 30 tahun itu memberi bayangan sebelum final Liga Juara-Juara bahawa dia mahu mencari cabaran baharu walaupun mempunyai hubungan baik dengan pengurus Jurgen Klopp dan penyokong di Anfield.

Mane meledak 120 gol untuk Liverpool dalam 269 penampilan dan menang hampir kesemua trofi sejak meninggalkan Southampton.

Bekas bintang Saints itu menjuarai Liga Juara-Juara 2018/19 dan gelaran Liga Perdana setahun selepas itu. Diikuti trofi Piala Dunia Kelab, Piala Super Uefa dan membantu Reds menjuarai Piala Liga serta Piala FA pada musim terakhirnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Jun 2022 @ 8:42 AM