MANE bersiap sedia untuk menjalani latihan bersama Bayern Munich, semalam. FOTO AFP
MANE bersiap sedia untuk menjalani latihan bersama Bayern Munich, semalam. FOTO AFP
Agensi

Munich: Sadio Mane berang dengan seorang wartawan ketika spekulasi mengenai masa depannya di Bayern Munich semakin memuncak dan penyerang itu dikaitkan dengan perpindahan ke Arab Saudi.

Pemain sayap yang kurang diperlukan itu dilaporkan berunding untuk menyertai kelab Liga Pro Saudi, Al-Nassr yang akan menyaksikannya bergandingan dengan Cristiano Ronaldo.

Mane mengharungi musim mengecewakan di Jerman susulan perpindahan bernilai £35 juta (RM206 juta) dari Liverpool pada musim panas lalu dan dipercayai tidak berada dalam perancangan bos baharu, Thomas Tuchel.

Satu rakaman video tular ketika Mane didekati oleh seorang wartawan yang mahu bertanyakan soalan kepadanya.

Mane dilihat enggan melayan wartawan itu dan dilihat merujuk kepada beberapa tajuk negatif mengenainya dalam media Jerman ketika beraksi di Bayern.

"Anda mengkritik saya setiap hari dan kini anda mahukan saya bercakap dengan kalian," kata Mane.

Mane menjadi tumpuan dan persembahannya sering dikritik sepanjang musim sulung yang sukar bersama juara Bundesliga itu.

Bekas pemain Liverpool itu, yang baru-baru ini diundi sebagai pemain paling dibenci dalam Bundesliga musim lalu, mencuri tumpuan apabila bergaduh dengan rakan sepasukannya, Leroy Sane pada April lalu.

Mane menumbuk muka Sane selepas kalah 0-3 di tangan Manchester City di Etihad pada aksi Liga Juara-Juara Eropah (UCL), tiga bulan lalu.

Dia kemudian didenda £250,000 (RM1.47 juta) oleh kelab itu - terbesar dalam sejarah mereka - dan dikenakan penggantungan satu perlawanan.

Bayern dilapor mahukan £17 juta (RM100 juta) dengan menjual penyerang itu, yang menjaringkan 12 gol dalam 38 perlawanan musim lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Julai 2023 @ 1:01 PM