MANE akui gembira di Anfield. FOTO AFP
MANE akui gembira di Anfield. FOTO AFP
Agensi

Birmingham: Sadio Mane menegaskan bahawa dia sangat gembira berada di Liverpool walaupun dikaitkan dengan perpindahan ke kelab lain.

Penyerang Senegal berusia 30 tahun itu menjaringkan gol menerusi tandukannya untuk The Reds menewaskan Aston Villa 2-1.

Mane menegaskan dia berpuas hati di Anfield walaupun terdapat laporan bahawa ejennya, Hasan Salihamidzic mengadakan perbincangan dengan Bayern Munich, Jumaat lalu ketika turut dikaitkan perpindahan ke gergasi Sepanyol, Barcelona.

"Ya, saya gembira di sini, saya fikir apabila kami memenangi trofi saya lebih gembira! Saya cuba menikmati setiap saat, cuba membantu rakan sepasukan dan mereka banyak memudahkan saya.

"Sejujurnya saya sangat gembira. Saya hanya cuba menikmati setiap saat dan membantu rakan sepasukan. Tanpa rakan sepasukan, saya bukan sesiapa," katanya.

Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp selepas perlawanan berkata: "Dia adalah mesin gol, saya memberitahunya selepas perlawanan. Mempunyai teknik yang baik serta keinginan tinggi. Dia adalah pemain bertaraf dunia."

Douglas Luiz meletakkan Villa di depan seawal minit ke-3 tetapi Joel Matip menyamakan kedudukan minit ke-6 sebelum tandukan Mane memastikan tiga mata penting dalam merebut gelaran juara Liga Perdana.

Kapten The Reds, Jordan Henderson berkata: "Persembahannya sentiasa luar biasa. Banyak yang dilakukan untuk pasukan, sama ada ketika mengawal bola atau tidak."

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Mei 2022 @ 11:50 AM