VINICIUS Junior dan Benzema gembira selepas Real berjaya singkirkan Liverpool untuk mara ke suku akhir Liga Juara-Juara. FOTO AP
VINICIUS Junior dan Benzema gembira selepas Real berjaya singkirkan Liverpool untuk mara ke suku akhir Liga Juara-Juara. FOTO AP
AFP

Madrid: Pengendali Real Madrid, Carlo Ancelotti berkata, pasukannya semakin bertambah yakin selepas mara ke suku akhir Liga Juara-Juara.

Pemegang rekod terbanyak dengan 14 kali muncul juara Liga Juara-Juara itu menumpaskan Liverpool 1-0 di Santiago Bernabeu, agregat 6-2 untuk mara ke saingan lapan terakhir.

Real mensasarkan untuk menang buat kali keenam dalam tempoh 10 tahun dan Ancelotti percaya kejayaan cemerlang pasukannya musim lalu memberikan mereka banyak keyakinan.

Los Blancos melakukan kebangkitan menakjubkan menentang Paris Saint-Germain, Chelsea dan Manchester City, sebelum menewaskan Liverpool di final.

Malah ketika aksi pertama 16 akhir dengan berdepan anak buah Jurgen Klopps, Real ketinggalan 0-2 sebelum bangkit mencatat kemenangan 5-2.

"Kami meraih lebih banyak keyakinan, kerana apa yang berlaku tahun lalu, ia memberi kami banyak keyakinan," kata Ancelotti kepada pemberita.

"Kami melihat bahawa dalam perlawanan ini, menentang pasukan yang kuat, kami berjaya bermain dengan baik dalam dua perlawanan.

"Tetapi kemudian, dengan keyakinan sahaja, kami tidak layak ke separuh akhir. Kami perlu bermain bola sepak yang mengejutkan... seperti biasa, Liga Juara-Juara adalah sangat rumit dan kami perlu bersaing sehingga tamat."

Jurulatih itu memuji gabungan pemain muda dan berpengalaman dalam skuadnya, apabila pemain tengah veteran Luka Modric dan Toni Kroos, dan tonggak muda Eduardo Camavinga, bermain baik bersama menentang Liverpool.

Gol tunggal Real dijaringkan Karim Benzema pada minit ke-78.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mac 2023 @ 8:19 AM