KAKA tekad pamer aksi terbaik. FOTO TFC
KAKA tekad pamer aksi terbaik. FOTO TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Pemain sayap kiri skuad kebangsaan Bawah 23 Tahun (B-23), Muhammad Nur Azfar Fikri Azhar, akui faktor keserasian dalam pasukannya antara 'senjata' terbaik untuk menumpaskan Thailand pada aksi pembukaan saingan Sukan Sea di Hanoi, Vietnam esok.

Pemain lincah Terengganu FC II (TFC II) yang lebih mesra dipanggil 'Kaka' itu menjelaskan lima pemain daripada pasukan Terengganu FC (TFC) dan dua pemain daripada skuad TFC II yang terpilih turut menjadi kelebihan kepada skuad kebangsaan dalam misi mengutip tiga mata pertama temasya sukan edisi ke-31 itu.

Tambah pemain berusia 22 tahun itu, pemilihan pemain terbaik daripada pasukan lain turut memberi impak yang positif buat skuad kendalian Brad Maloney itu walaupun sedar bukan tugas mudah untuk menjinakkan pasukan Gajah Perang itu.

"Kehadiran tujuh pemain daripada pasukan TFC dan TFC II memberi keserasian kerana kami sentiasa bermain dalam satu pasukan sekali gus masing-masing sudah mengetahui kelebihan dan kekuatan setiap pemain.

"Selain itu kehadiran pemain terbaik daripada pasukan lain turut memberikan impak yang positif buat pasukan negara dalam usaha untuk meraih keputusan positif dalam perlawanan pertama itu.

"Jika kami berjaya meraih kemenangan, ia bakal meningkatkan lagi motivasi kami berdepan Laos pada aksi kedua 11 Mei, namun pesanan saya buat rakan sepasukan, kami perlu bersatu hati dan beraksi sepenuh jiwa demi lencana negara di dada," katanya ketika dihubungi melalui aplikasi WhatsApp.

Ketika ditanya apa pesanan daripada Maloney sebelum turun beraksi menentang Thailand, pemain berketinggian 1.69 meter itu menjelaskan jurulatih kelahiran Australia itu mahukan enam elemen perlu ada ketika beraksi.

"Pertama Maloney tuntut pemain beraksi untuk negara, diri sendiri, keluarga dan semua penyokong Malaysia bagi menyuntik semangat ketika turun berdepan mana-mana pasukan.

"Beliau juga turut memberi pesanan agar kami tidak cepat putus asa walaupun ketinggalan sebaliknya perlu bangkit selain tidak cepat berpuas hati ketika mendahului lawan bagi mengelak dijerat," katanya.

Pada edisi ke-30 di Filipina pada 2019, skuad negara gagal melepasi peringkat kumpulan, namun kali ini berbekalkan pemain terbaik dan ramuan Maloney, skuad kebangsaan mampu melangkah lebih jauh walaupun bakal berdepan dengan Thailand, Laos, Singapura dan Kemboja dalam peringkat Kumpulan B.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Mei 2022 @ 1:01 PM