Pertahanan skuad kebangsaan Bawah 22 Tahun, Muhammad Hairiey Hakim Mamat (dua kiri) sudah bersedia turun padang bertemu Laos. FOTO FAM
Pertahanan skuad kebangsaan Bawah 22 Tahun, Muhammad Hairiey Hakim Mamat (dua kiri) sudah bersedia turun padang bertemu Laos. FOTO FAM
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Walaupun terpaksa 'berperang' dengan cuaca sejuk bawah 10 darjah selcius, pertahanan kiri skuad kebangsaan Bawah 22 Tahun (B-22), Muhammad Hairiey Hakim Mamat akui sudah bersedia sepenuhnya untuk merantai penyerang Laos pada aksi pertama Isnin ini di Stadium Persekutuan Bolasepak Mongolia (MFF).

Pemain Terengganu FC II (TFC II) yang lebih mesra dipanggil Saha juga mendedahkan pengalaman beraksi bersama skuad kendalian Badrul Afzan Razali sebagai pemain utama sepanjang Liga Perdana.

Selain diturunkan sebagai pemain gantian skuad Liga Super, Terengganu FC (TFC) bimbingan Nafuzi Zain menambah lagi keyakinannya untuk membantu skuad negara melakar kemenangan dalam kempen Kelayakan Piala Asia B-23 Kumpulan J yang membabitkan pasukan tuan rumah, Mongolia, Thailand dan Laos.

Bagaimanapun pemain berusia 21 tahun kelahiran kampung Titian Baru Kedai Buluh, Kuala Terengganu itu tidak mahu terlalu yakin berdepan dengan skuad Laos yang berada di ranking lebih rendah berbanding skuad negara.

Sebaliknya pemain berketinggian 1.70 meter itu yang berjaya memikat hati pengendali kebangsaan, Brad Maloney buat kali pertama tetap akan berwaspada berdepan dengan skuad berkenaan walaupun atas kertas kelebihan sudah pasti lebih memihak kepada skuad kebangsaan.

"Rasa syukur terpilih menyarung jersi skuad kebangsaan buat kali pertama, jadi dengan pemilihan ini sudah pasti saya mahu memperagakan bakat yang saya ada dengan aksi terbaik terutama berdepan Laos pada aksi pertama Isnin ini sekiranya diturunkan Maloney.

"Impian peribadi juga untuk memburu kemenangan dalam tiga perlawanan peringkat kumpulan sekali gus melayakkan pasukan melangkah ke pusingan akhir Piala Asia B-23 tahun di Uzbekistan pada Jun tahun depan.

"Bagaimanapun semua itu bukan kerja mudah terutama berdepan Thailand dan tuan rumah, Mongolia yang sudah pasti cabaran hebat bakal menanti saya dan rakan sepasukan.

"Selain dua pasukan itu, peningkatan yang dipamerkan pasukan Laos juga perlu diberi perhatian kerana sudah pasti pasukan itu juga mengidam impian sama sebagaimana pasukan lain, justeru kami akan berjuang habis-habisan walaupun cuaca di Mongolia ini begitu sejuk," katanya ketika dihubungi melalui aplikasi WhatsApp hari ini.

Pemain berbakat yang mencipta nama bersama skuad The Turtles itu bagaimanapun perlu bersaing dengan seorang lagi pemain di posisi sama daripada pasukan Johor Darul Ta'zim II (JDT II), Muhammad Umar Hakeem Suhar Redzuan.

Selain berdepan Laos pada jam 3 petang Isnin ini, skuad muda negara bakal bertembung dengan tuan rumah, Mongolia pada jam 11 pagi 28 Oktober sebelum aksi terakhir menentang Thailand pada 31 Ogos juga pada jam 11 pagi di Stadium Bolasepak Persekutuan Bolasepak Mongolia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Oktober 2021 @ 2:26 PM