HADI Fayyadh miliki aset yang mampu menambah sengat skuad Maloney.
HADI Fayyadh miliki aset yang mampu menambah sengat skuad Maloney.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pengendali skuad bawah 23 (B-23) tahun negara, Brad Maloney mengakui kehadiran penyerang, Hadi Fayyadh Abdul Razak dilihat sebagai 'penambah rencah' dalam pasukan untuk mengharungi perlawanan di Sukan Sea Hanoi, Vietnam awal bulan depan.

Maloney berkata, Hadi memiliki teknik dan hantaran yang bagus dengan prestasinya semakin meningkat berbanding dua tahun lalu.

Beliau berkata, pemain terbabit yang beraksi di liga divisyen tiga Jepun, Azul Claro Numazu mampu berkongsi pengalaman dimilikinya untuk memantapkan lagi keupayaan skuad B-23 negara.

"Saya lihat Hadi memiliki keupayaan dan kebolehan yang bagus walaupun sudah dua tahun tidak melihatnya namun prestasi di semakin meningkat. "Teknik permainan dimilikinya juga cukup bagus dan kehadirannya mampu membantu pasukan negara mencipta keputusan positif," katanya. Sementara itu, Maloney berkata, dua perlawanan persahabatan yang bakal diharungi dalam tempoh terdekat menjadi medium untuk barisan kejurulatihan memilih barisan pemain terbaik untuk dibawa ke Hanoi. Katanya, semua 31 pemain dipanggil menyertai kem latihan pusat mempunyai peluang sama rata untuk tersenarai ke sukan dwitahunan itu. "Semua pemain mempunyai peluang untuk tersenarai dalam senarai akhir. Tiada jaminan kedudukan untuk mana-mana pemain dalam pasukan ketika ini. Mereka boleh buktikan dalam perlawanan persahabatan."

Skuad kebangsaan akan diuji dalam dua perlawanan persahabatan (B-23 Timor Leste pada 29 April dan B-23 Filipina pada 1 Mei) sebelum barisan pemain ke Vietnam diputuskan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 April 2022 @ 6:42 PM