SYIHAN Hazmi teruja namanya dipanggil menyertai latihan kem skuad kebangsaan. Foto ihsan FB NSFC.
SYIHAN Hazmi teruja namanya dipanggil menyertai latihan kem skuad kebangsaan. Foto ihsan FB NSFC.
Mohd Amin Jalil


Seremban: Penjaga gol utama Negeri Sembilan FC (NSFC), Ahmad Syihan Hazmi Mohamed mengakui teruja apabila disenaraikan untuk menyertai kem latihan pusat skuad Harimau Malaya.

Pemain kelahiran Kelantan berusia 26 tahun itu menyifatkan panggilan itu sebagai sesuatu yang tidak disangka selepas hampir enam bulan bersama skuad Hobin Jang Hobin bagi mengharungi saingan Liga Super musim ini.

"Saya rasa amat teruja apabila dimaklumkan pihak pengurusan pasukan NSFC menyatakan saya dipanggil menyertai kem latihan bersama skuad kebangsaan dikendalikan Kim Pan-gon.

"Saya tidak menyangka nama tersenarai, namun panggilan itu menaikkan lagi motivasi dan membakar semangat saya untuk terus berusaha meningkatkan prestasi dan pencapaian.

"Ini kali pertama saya menyertai kem skuad kebangsaan walaupun sebelum ini pada 2013-2014 pernah bersama Harimau Muda dan 2016-2017 bersama skuad Bawah 23 Tahun," katanya.

Syihan Hazmi berkata, dia akan menggunakan peluang terbaik dalam kem itu untuk menimba ilmu baharu dalam bola sepak daripada barisan kejurulatihan skuad kebangsaan.

Malah, dia akan berusaha keras untuk memastikan dapat terpilih bersama skuad kebangsaan yang dalam persiapan menghadapi perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 selain Kelayakan Piala Asia 2023.

"Saya akan bekerja keras sepanjang kem latihan itu nanti dengan memberikan persembahan terbaik supaya dapat memikat Pan-gon untuk terpilih dalam skuad kebangsaan.

"Saya akan gunakan peluang terbaik ini sebaik mungkin dan tunjukkan sikap, disiplin serta permainan diperlukan, insya-Allah, jika ada rezeki dapat bersama pasukan Harimau Malaya dan beraksi buat negara," katanya.

Bekas pemain Petaling Jaya (PJ) City FC itu setakat ini menunjukkan persembahan membanggakan dan menjadi tunjang kekuatan NSFC apabila menduduki tangga ketiga Liga Super dengan mengumpul 15 mata.

Selain Syihan Hazmi, dua lagi pemain NSFC turut dipanggil menyertai kem berkenaan iaitu Khair Jones dan Ahmad Khuzaimi Piee dan mereka akan melaporkan diri, esok.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Mei 2022 @ 6:18 PM