PANCARAN laser dilihat terus terarah ke muka Salah. FOTO Agensi
PANCARAN laser dilihat terus terarah ke muka Salah. FOTO Agensi
Agensi

Diamniadio: Mohamed Salah diganggu pancaran laser dan dibaling dengan botol ketika dia gagal menyempurnakan sepakan penalti sekali gus meranapkan impiannya untuk beraksi di Piala Dunia.

Rakan sepasukannya di Liverpool, Sadio Mane menjaringkan penalti paling penting untuk memastikan Senegal menewaskan Mesir sekali gus mengulangi pencapaian ketika menjuarai Piala Negara-Negara Afrika.

Penyokong Senegal mensasarkan pancaran laser ke arah pemain Mesir sepanjang aksi playoff Piala Dunia di ibu negara Senegal, Dakar.

Ia ternyata mengganggu barisan pemain Mesir yang mengambil sepakan penalti apabila tiga daripada empat pemain gagal menyempurnakannya.

Salah kemudian dibawa memasuki terowong oleh kakitangan keselamatan yang melindungi kepalanya ketika penyokong melontar objek ke arahnya.

Senegal memenangi perlawanan itu 1-0 untuk agregat 1-1 sekali gus mengheret perlawanan ke masa tambahan dan ke penentuan penalti.

Terdapat gesaan sebelum ini supaya Fifa mengharamkan penggunaan pen laser di dalam stadium.

Pakar mata, Dr Robert Josephburg sebelum ini berkata: "Saya terkejut dengan pancaran peralatan ini.

"Ia boleh menyebabkan kerosakan mata yang serius jika seseorang itu sering terdedah dengan pancaran berkenaan. Sukan adalah perkara yang perlu diberi perhatian, terutamanya jika sesetengah peminat cuba mendapatkan kelebihan untuk pasukan mereka."

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Mac 2022 @ 8:56 PM