MANE (tengah) mengawal bola ketika perlawanan play-off menentang Mesir. -FOTO AFP
MANE (tengah) mengawal bola ketika perlawanan play-off menentang Mesir. -FOTO AFP
AFP

Diamniadio, Senegal: Bintang Liverpool, Sadio Mane sekali lagi menjadi wira apabila menyempurnakan penalti untuk membawa juara Afrika, Senegal ke Piala Dunia di Qatar seterusnya menyingkirkan Mesir.

Cameroon, Ghana, Morocco dan Tunisia turut menempah tempat ke pusingan akhir pada aksi terakhir play-off.

Senegal menang perlawanan kedua play-off di Diamniadio hasil jaringan minit keempat dari Boulaye Dia dan pasukan itu menamatkan perlawanan dengan agregat 1-1 selepas tamat masa perlawanan.

Seperti yang berlaku pada perlawanan akhir Piala Negara-Negara bulan lalu, Mane diamanahkan mengambil sepakan penanti kelima yang penting buat Senegal dan sekali lagi dia berjaya menyempurnakannya untuk memberi kemenangan 3-1 kepada pasukannya.

Antara tiga pemain Mesir yang gagal menyempurnakan sepakan penalti adalah rakan Mane di Liverpool, Mohamed Salah yang tidak sengaja melepaskan tendangan melepasi palang gol.

Hanya empat dari sembilan sepakan penalti berjaya disempurnakan dengan kapten Kalidou Koulibaly dan Saliou Ciss gagal melakukannya untuk Senegal manakala Salah, 'Zizo' serta Mostafa Mohamed buat Mesir.

Ketika Senegal meraikan kejayaan kedua mereka layak ke Piala Dunia, Mesir sekali lagi terpaksa berdepan kekalahan dramatik kepada Senegal tahun ini.

"Adalah penting untuk memulakan permulaan yang baik, sesuatu yang belum pernah kami lakukan di Kaherah," kata jurulatih Senegal, Aliou Cisse.

"Pasukan ini lebih lengkap (berbanding pasukan yang layak ke pusingan akhir 2018).

"Kami (sepatutnya) boleh layak pada waktunya berdasarkan apa yang dipamerkan oleh pasukan namun terlepas."

Sementara itu jurulatih Mesir, Carlos Queiroz berkata: "Tidak banyak yang boleh dikatakan hanya kata-kata yang baik buat pemain selepas apa yang mereka pamerkan. Tahniah kepada Senegal."

Sementara itu pemain tengah Arsenal, Thomas Partey menjaringkan gol yang membawa Ghana ke Piala Dunia dengan keputusan seri 1-1 di Nigeria dan mara berdasarkan gol di tempat lawan.

Karl Toko Ekambi menjaringkan gol di minit keempat masa tambahan untuk memberikan Cameroon kemenangan 2-1 ke atas Algeria di Blida dan mara menerusi kelebihan gol di tempat lawan.

Manakala Azzedine Ounahi meledak dua kali ketika Maghribi menewaskan Republik Demokratik Congo 4-1 di Casablanca dan mara ke pusingan akhir buat kali keenam.

Tunisia memastikan tiket ke Qatar walaupun terikat 0-0 di laman sendiri menentang Mali pada aksi timbal balik. Pada aksi pertama di Bamako Jumaat lalu, mereka menang 1-0 hasil jaringan sendiri Moussa Sissako.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Mac 2022 @ 8:13 AM