JUTAAN rakyat Senegal berpesta raikan kejayaan Senegal. -FOTO AFP
JUTAAN rakyat Senegal berpesta raikan kejayaan Senegal. -FOTO AFP
AFP

Dakar: Ribuan penyokong Senegal yang meraikan kemenangan sulung mereka menjulang Piala Negara-Negara Afrika Isnin lalu turut meraikan jurulatih, Aliou Cisse hanya selepas sebulan lalu dikritik terhadap pilihan taktikalnya.

Peminat memuji pemain bintang seperti Sadio Mane dari Liverpool dan Edouard Mendy (Chelsea) serta turut melaungkan nama Cisse selepas mereka berjaya menewaskan Mesir yang diketuai Mohamed Salah 4-2 menerusi penentuan sepakan penalti pada perlawanan akhir yang berlangsung di Cameroon Ahad lalu.

Perlawanan berakhir tanpa jaringan selepas masa tambahan.

Kemenangan itu adalah yang pertama buat Senegal dalam kejohanan berkenaan dan mencetuskan sambutan meriah di ibu negara barat Afrika itu.

Presiden Macky Sall mengisytiharkan cuti umum semalam bagi menandakan kemenangan negara itu dengan Cisse yang menerima pujian di semua media kebangsaan, menangis di depan penyokong di stadium sebelum dikerumuni pemain yang terlalu gembira selepas perlawanan.

"Dia membantu kami mendapatkan piala yang amat kami nantikan selama bertahun-tahun. Saya antara mereka yang mengkritiknya – tapi kami tiada siapa yang lebih baik daripadanya," kata Alla Diop yang juga antara penyokong meraikan kejayaan itu di Dakar.

Cisse turut dikritik oleh jutaan peminat sejak dia mengambil alih Lions of Teranga pada 2015 selain pihak yang rapat dengan negara yang amat sukakan bola sepak itu.

Ramai yang berpendapat falsafahnya terlalu defensif dan terlalu lambat memanfaatkan bakat pemain seperti Mane.

"Jika kami tidak menang AFCON, lebih baik Aliou Cisse meletak jawatan," kata bekas rakan sepasukannya, Khalilou Fadiga sebelum kejohanan bermula.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Februari 2022 @ 8:24 AM