Pemain import TFC II, Luke Woodland terpaksa menanti sebulan lagi sebelum turun beraksi kerana mengalami kecederaan. FOTO TFC
Pemain import TFC II, Luke Woodland terpaksa menanti sebulan lagi sebelum turun beraksi kerana mengalami kecederaan. FOTO TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Peminat bola sepak Terengganu terpaksa menanti kira-kira sebulan lagi untuk menyaksikan kelibat tonggak import kacukan Filipina-England, Luke Woodland beraksi bersama Terengganu FC II (TFC II) kerana pemain itu masih belum sembuh sepenuhnya daripada kecederaan dialami.

Ketua jurulatih TFC II, Badrul Afzan Razali yang menyatakan bekas pemain kelab Ratchaburi Mitr Phol dalam Liga Thailand musim lalu itu bakal membuat penampilan pertama selepas sambutan Aidilfitri pada awal Mei depan.

"Pemain kelahiran Abu Dhabi, United Arab Emirates (UAE) itu bakal bersama pasukan kira-kira sebulan lagi selepas mengalami kecederaan lutut ketika aksi pemanas badan awal musim ini.

"Jadi kita tidak mahu mengambil risiko, kita harap pemain itu pulih sepenuhnya daripada kecederaan bagi membantu pasukan mengharungi saingan Liga Perdana musim ini," katanya ketika ditemui.

Dalam pada itu jurulatih muda meningkat naik itu akui penyerang importnya, Jordan Mintah mengalami kecederaan ringan sekali gus menyukarkan pergerakannya ketika aksi bertemu Perak FC Jumaat lalu.

"Saya tidak mahu menyalahkan pemain itu (Mintah) kerana dia mengalami kecederaan ringan menyebabkan gagal beraksi dengan baik ketika bertemu Perak FC.

"Namun walaupun cedera, Mintah tetap bersemangat sehingga berjaya menjaringkan gol kedua pasukan ketika menundukkan skuad The Bos Gaurus 3-0, kita harapkan pertemuan dengan PDRM selepas ini, pemain kelahiran Ghana itu dapat pamerkan taring sebenar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Mac 2022 @ 6:28 PM