WOODLAND (kiri) bersama pengurus pasukan, Mohd Fadhil Wahab sebaik tiba di Kuala Terengganu semalam. FOTO Ihsan pembaca
WOODLAND (kiri) bersama pengurus pasukan, Mohd Fadhil Wahab sebaik tiba di Kuala Terengganu semalam. FOTO Ihsan pembaca
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Pemain berdarah kacukan England-Filipina, Luke Woodland menjadi pemain import pertama Terengganu FC (TFC) 'mendarat' di Kuala Terengganu, semalam.

Berita kehadiran bekas pemain kelab Ratchaburi Mitr Phol dalam Liga Thailand sudah pastinya menggembirakan penyokong setia skuad Penyu itu.

Pengurus pasukan, Mohd Fadhil Wahab ketika dihubungi mengesahkan kehadiran pemain kebangsaan Filipina itu yang pernah menyarung jersi Kuala Lumpur pada 2019 semalam di bumi Terengganu.

"Woodland sudah tiba di Kuala Terengganu semalam, dia menjadi pemain import pertama bakal menjalani latihan bersama pasukan TFC.

"Hari ini dijangka dua lagi pemain import iaitu bekas pemain TFC kelahiran Ivory Coast, Kipre Tchetche dan bekas pemain Melaka United (MU) musim lalu, Manuel Ott bakal tiba di Kuala Terengganu.

"Manakala baki lima lagi pemain bakal hadir selewat-lewatnya pada 17 Januari ini sekali gus melengkapkan senarai pemain sebagai persediaan menjelang aksi Liga Super yang bakal bermula pada 4 Mac depan," katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Fadhil yang baharu memikul tugas berkenaan mengharapkan kehadiran lapan tonggak import itu bakal memberi peluang seluasnya buat barisan jurulatih dalam misi memburu sekurang-kurangnya satu piala kejuaraan musim ini.

"Alhamdulillah, dengan kehadiran pemain import dan ditambah pengalaman mereka, dapat kita satukan dengan pemain tempatan sekali gus dapat mencorakkan permainan yang lebih mantap untuk kita memburu piala pada tahun ini.

"Selain itu dengan perancangan dan taktikal daripada barisan kejurulatihan akan menjadikan pasukan TFC yang terbaik dalam Liga Malaysia (Liga M) tahun ini," katanya.

Selain tiga import itu, Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd turut merantai lima lagi pemain iaitu Jordan Mintah (penyerang), Argzim Redzovic (pertahanan), Habib Haroon (tengah), Kpah Sherman (penyerang) dan pertahanan kelahiran Senegal, Pape Diakite.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 January 2022 @ 5:01 PM