PEMAIN kebangsaan Filipina, Luke Woodland kini menjadi buruan Terengganu FC. -FOTO Ihsan Ratchaburi Mitr Phol
PEMAIN kebangsaan Filipina, Luke Woodland kini menjadi buruan Terengganu FC. -FOTO Ihsan Ratchaburi Mitr Phol
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Pemain kebangsaan Filipina, Luke Woodland kini menjadi buruan terbaharu Terengganu FC (TFC) dalam mengharungi kancah Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Pemain yang beraksi bersama kelab Ratchaburi Mitr Phol dalam Liga Thailand musim ini dikatakan hampir pasti menjadi keluarga baharu skuad Penyu itu.

Bagaimanapun menurut sumber TFC, perbincangan lanjut berkaitan kontrak masih lagi berlangsung antara kedua-dua belah pihak dan kini hanya menanti kata putus.

"Pemain itu sememangnya berada dalam radar TFC bagi memantapkan lagi jentera tengah pasukan pada musim depan, namun setakat ini perbincangan lanjut masih diteruskan terutama berkaitan kontrak.

"Jika perbincangan itu berakhir dengan positif, pemain tengah bertahan yang akan mengisi kuota Asean itu bakal diumumkan bersama TFC, tapi jika sebaliknya, kita perlu mencari pemain lain," kata sumber itu ketika dihubungi.

Pemain berdarah kacukan England-Filipina yang pernah menyarung jersi pasukan England Bawah 16, 17 dan 18 tahun sebelum menyertai kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Bolton Wanderers pada 2013 hingga 2015.

Dia kemudian berhijrah ke Filipina pada 2015 dijangka bakal bergandingan dengan pemain kelahiran Bahrain, Habib Haroon yang dikekalkan musim depan.

Berdasarkan rekod, pemain berusia 26 tahun kelahiran Abu Dhabi, United Arab Emirates itu pernah menyarung jersi skuad Kuala Lumpur pada 2019 sebelum menyertai kelab dalam Liga Thailand itu.

Pemain yang memiliki ketinggian 1.83 meter itu yang menjaringkan satu gol dalam 11 penampilan bersama Ratchaburi musim ini juga pernah menyarung jersi kelab Oldham Athletic dan York City dalam liga bawahan England.

Ketika ditanya mengenai status kapten skuad kebangsaan Namibia, Petrus Shitembi yang sebelum ini kembali menjalani latihan bersama TFC selepas pulih daripada kecederaan, sumber itu menjelaskan pemain berusia 29 tahun itu tiada dalam perancangan pasukan.

"Walaupun kuota bagi pemain import TFC dan Terengganu FC II (TFC II) belum lengkap sepenuhnya, kita tidak bercadang untuk mengikat Shitembi, sebaliknya kita sedang mengintai pemain lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Disember 2021 @ 1:18 PM