ADISAK (kiri) diasak pemain PDRM FC, Marcus Marcauley pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. FOTO GHAZALI KORI
ADISAK (kiri) diasak pemain PDRM FC, Marcus Marcauley pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. FOTO GHAZALI KORI
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Terengganu FC (TFC) perlu memperkemaskan lagi corak permainan termasuk mempertajamkan jentera serangan bagi memastikan kemenangan kedua dapat diraih.

Demikian gesaan penolong jurulatih skuad Penyu itu, Badrul Afzan Razali apabila pasukannya bakal membuat perhitungan dengan Negeri Sembilan FC (NSFC) pada aksi kelima Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam esok.

Jelas bekas ketua jurulatih Terengganu FC II (TFC II) musim lalu itu, kemenangan tipis 1-0 menumpaskan PDRM FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada Sabtu lalu belum cukup menggembirakan kem pasukan kerana deretan peluang gagal diterjemahkan dengan jaringan.

"Ketika berdepan dengan PDRM FC pada aksi keempat, pemain kita mendapat 26 peluang untuk disudahkan dengan jaringan, namun hanya satu gol diperoleh menerusi pemain pertahanan, Sardor Qulmatov pada suku terakhir perlawanan.

"Perkara ini perlu diperbaiki segera apabila berdepan dengan skuad Hobin Jang Hobin bagi memastikan momentum kemenangan dapat diraih biarpun sedar bukan tugas mudah buat pemain lebih-lebih lagi beraksi di tempat lawan.

"Namun dengan persiapan yang berjalan lancar selain semua pemain bebas daripada sebarang kecederaan dan penggantungan serta motivasi mereka berada pada tahap terbaik selepas berjaya merakam kemenangan pertama dan jaringan sulung, saya berkeyakinan sasaran tercapai," katanya ketika ditemui semasa sesi latihan di Kompleks Sukan Negeri Terengganu (KSNT), petang semalam.

Ketika ditanya kemungkinan penyerang kelahiran Ghana, Jordan Mintah bakal disenaraikan sekali lagi bagi menggantikan penyerang kelahiran Croatia, Ivan Mamut yang gagal beraksi dengan baik dalam tiga perlawanan terdahulu, Badrul Afzan belum lagi membuat keputusan muktamad.

"Pemain itu (Mintah) beraksi dengan baik ketika berdepan PDRM FC walaupun kali pertama diturunkan pada musim ini, dia menunjukkan kesungguhan yang tinggi walaupun gagal menjaringkan gol, namun setakat ini kami belum memutuskan lagi sama ada dia sekali lagi bakal ditugaskan mengetuai jentera serangan ataupun Adisak Kraisorn dan Mamut.

"Siapapun nanti yang diturunkan, mereka perlu memperagakan aksi terbaik untuk memburu gol selain perlu berwaspada dengan ancaman tuan rumah yang membariskan majoriti pemain berpengalaman termasuk tonggak import.

"Pemain perlu fokus bermula pada minit pertama hingga tiupan wisel terakhir selain tidak mengulangi kesilapan mudah sebagaimana aksi menentang Kedah Darul Aman FC (KDA FC) sebelum ini," kata bekas pemain tengah Terengganu itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Mac 2023 @ 12:43 PM