AUSTRALIA tewas 0-2 kepada Jepun pada aksi kelayakan peringkat Asia. -FOTO EPA
AUSTRALIA tewas 0-2 kepada Jepun pada aksi kelayakan peringkat Asia. -FOTO EPA
AFP

Sydney: Jurulatih Australia, Graham Arnold menggesa pemain negara itu untuk kekal positif ketika beliau kini berdepan yang semakin memuncak selepas kegagalan mereka untuk layak secara automatik ke Piala Dunia buat kali kelima berturut-turut.

Socceroos perlu menewaskan Jepun di Sydney semalam dan menang ke atas Arab Saudi minggu depan untuk mengesahkan tempat ke Qatar.

Namun selepas berjaya menahan Jepun daripada meledakkan sebarang gol untuk tempoh 89 minit, dua gol daripada pemain gantian Kaoru Mitoma mengejutkan pasukan tuan rumah yang kini perlu beraksi dalam saingan playoff menentang sama ada UAE, Iraq atau Lebanon.

Jika mereka berjaya melepasi halangan itu, mereka kemudiannya akan berdepan pasukan daripada Amerika Selatan untuk mengesahkan tempat ke Piala Dunia.

"Ia dua tahun yang sukar tetapi sesetengah orang tidak mahu mendengarnya," kata Arnold yang menyatakan pasukannya terpaksa beraksi di tempat lawan kerana sekatan perjalanan Covid-19.

"Ia sentiasa sukar (melalui playoff) untuk layak ke Piala Dunia. Pada akhirnya kami perlu mempersiapkan diri," katanya selepas kekalahan 2-0 semalam.

"Kami menduduki tempat ketiga dan perlu positif mengenainya. Kami melakukannya pada 2018 (layak ke Piala Dunia) dan kami perlu terus bergerak ke depan."

Australia bermula dengan baik untuk kempen kelayakan Asia namun selepas tewas kepada Jepun di tempat lawan Oktober lalu, keputusan seri menjejaskan kemaraan mereka.

Biarpun Arnold sering kali berdepan kekangan kurang kekuatan, taktik dan gaya permainan pengendali berusia 58 tahun itu mendapat kritikan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Mac 2022 @ 12:27 PM