AKSI Irvine menjaringkan gol kemenangan Australia di Stadium Jassim bin Hamad. FOTO Reuters
AKSI Irvine menjaringkan gol kemenangan Australia di Stadium Jassim bin Hamad. FOTO Reuters
AFP

Doha: Australia mengikut jejak pasukan tuan rumah dan juara bertahan Qatar mara ke pusingan 16 Piala Asia selepas menang tipis 1-0 ke atas Syria hari ini.

Jackson Irvine menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-60 yang juga jaringan keduanya di kejohanan itu selepas menolak bola masuk dari jarak dekat.

Socceroos kendalian Graham Arnold mara ke peringkat kalah mati dengan baki satu perlawanan tetapi mereka perlu beraksi lebih baik jika mahu menjulang trofi Piala Asia kali kedua.

India menentang Uzbekistan dalam satu lagi aksi kumpulan sama malam ini.

Syria yang menduduki ranking lebih rendah hampir mencipta kejutan ketika permainan memasuki minit kelima selepas percubaan pemain kelahiran Colombia Pablo Sabbag nyaris membolosi gawang Australia.

Australia yang menewaskan India 2-0 pada aksi pertama kembali memperkemaskan permainan namun ketangkasan pertahanan Syria serta ketumpulan penyudah menghampakan mereka.

Namun Irvine menyelamatkan maruah pasukannya dengan bijak menolak bola masuk di celah kaki penjaga gol Ahmad Madanieh untuk jaringan kemenangan Australia.

Perlawanan terakhir peringkat Kumpulan B berlangsung Selasa ini dengan Australia menentang Uzbekistan manakal India berdepan Syria.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 January 2024 @ 10:39 PM