KAORU Mitoma (tengah) meraikan jaringannya. FOTO AFP
KAORU Mitoma (tengah) meraikan jaringannya. FOTO AFP
AFP

Sydney: Pemain gantian, Kaoru Mitoma meledak dua gol di hujung perlawanan ketika membantu Jepun menewaskan Australia 2-0 untuk menempah tiket layak ke Piala Dunia buat kali ketujuh berturut-turut.

Kemenangan itu turut juga membantu Arab Saudi layak ke kejohanan berprestij itu.

Ia satu tamparan hebat untuk Socceroos yang kini perlu mengharungi aksi playoff untuk menghidupkan peluang ke Qatar.

Perlawanan di Sydney tampak akan memberikan keputusan seri sebelum Mitoma menyempurnakan sepakan jarak dekat pada minit ke-89 dan kemudian sekali lagi meledak pada masa kecederaan bagi menggembirakan pelawat.

Kemenangan itu membantu Jepun mengungguli tangga teratas kelayakan Kumpulan B Asia dengan 21 mata, enam mata di depan Australia berbaki satu perlawanan.

Arab Saudi pula, dengan 19 mata akan berdepan China di Sharjah tetapi sudah memastikan tempat ke Qatar berikutan kemenangan Jepun.

Australia yang kini tidak boleh menamatkan saingan di kedudukan lebih tinggi daripada tiga, akan melalui aksi playoff menentang pasukan ketiga terbaik Kumpulan A Asia.

Pemenang akan menentang pasukan Amerika Selatan untuk tempat ke Qatar hujung tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Mac 2022 @ 9:06 PM