GURUSAMY (kiri) antara tonggak utama skuad PJ City FC dalam mendepani cabaran JDT. FOTO PJ CITY FC
GURUSAMY (kiri) antara tonggak utama skuad PJ City FC dalam mendepani cabaran JDT. FOTO PJ CITY FC
Mohd Amin Jalil


Seremban: Meskipun mengakui kehilangan P Rajes memberi kesan kepada kekuatan pasukan, skuad Petaling Jaya (PJ) City FC yakin memberikan cabaran baik dalam kempen Piala Malaysia musim ini.

Rajes maut selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan dari arah Batu Muda menghala ke Batu Caves, Isnin lalu.

Skuad bimbingan P Maniam itu akan menanti kunjungan Johor Darul Ta'zim (JDT) pada perlawanan pertama di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Rabu ini.

Sedar dengan cabaran getir bakal dihadapi pada aksi pertama itu nanti, pengurus pasukan, K Rajendran, yakin pemain berupaya untuk menyaingi kehebatan skuad juara Liga Super itu.

"Saya percaya semua pemain PJ City sudah bersedia untuk memberikan cabaran dan persembahan terbaik pada aksi pertama di laman sendiri, Rabu ini.

"Walaupun sedar tugas berat bakal dihadapi pemain, tetapi rekod pertemuan kedua-dua pasukan pada aksi liga sebelum ini memberangsangkan dan bukan mustahil, kami mampu mencipta kejutan ke atas JDT.

"Bagaimanapun pemain PJ City perlu pamerkan aksi luar biasa untuk membolehkan keputusan baik dapat dicapai kerana JDT tidak tewas sepanjang aksi liga," katanya.

Rajendran berkata, pada perlawanan liga di gelanggang sama, PJ City seri 2-2 dengan JDT dan keputusan baik itu berupaya diulangi pada kempen Piala Malaysia.

Keyakinan beliau bersandarkan kepada barisan pemain utama pasukan seperti Darren Lok, K Kogileswaran, K Gurusamy, Mahali Jasuli, S Kumaahran dan Khyril Muhymeen Zambri yang kini berada pada tahap prestasi terbaik untuk mengemudi jentera pasukan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Oktober 2022 @ 3:45 PM