SESI latihan MU. -FOTO Ihsan MU
SESI latihan MU. -FOTO Ihsan MU
Oleh Nazri Abu Bakar

Melaka: Melaka United (MU) memfokuskan pertemuan perlawanan ketiga Liga Super berdepan Sabah FC pada 5 April selepas pemain skuad terbabit bebas daripada positif wabak Covid -19.

Pengurus pasukan Melaka, Muhammad Akram Abdullah berkata, selepas pemain dan pegawai bebas daripada jangkitan berkenaan tumpuan kini meningkatkan semula kecergasan selepas kembali menjalani latihan.

Katanya, walaupun momentum pasukan sedikit terjejas selepas mereka diarahkan untuk menjalani kuarantin membabitkan 20 pemain dan pegawai, namun usaha sedang dipertingkatkan jurulatih Risto Vidakovic untuk memastikan mereka benar-benar bersedia pada perlawanan terbabit.

Menurutnya, apa yang penting pemain perlu pantas membentuk semula keserasian dan memenuhi perancangan Vidakovic walaupun mental mereka sedikit terjejas selepas perlawanan Piala FA berdepan PIB FC terpaksa di tangguhkan.

"Kini pemain ditagih untuk benar-benar bersedia memberikan yang terbaik dalam perlawanan berdepan Sabah begitu juga ketika bertemu PIB kelak.

"Terus terang saya katakan situasi yang dialami sedikit mengganggu persiapan pasukan tetapi dengan tempoh masa yang ada, kami menaruh kepercayaan penuh kepada Vidakovic dalam meningkatkan semula moral pasukan dan mencatur taktikal terbaik bagi menghadapi perlawanan mendatang.

"Apa yang kami harap peristiwa pemain positif Covid-19 tidak lagi berulang dalam usaha memfokuskan saingan Liga Super dan Piala FA yang amat mencabar," katanya.

Bagaimanapun, semua pemain dinasihat untuk terus patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) di dalam dan luar padang selain pemantauan doktor pasukan bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini.

Beliau berkata, susulan penangguhan Piala FA penonton yang membeli tiket perlawanan secara online boleh menggunakan tiket sama pada tarikh baharu yang akan diumumkan kelak.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Mac 2022 @ 2:53 PM