AKMAL mahu memberikan yang terbaik setiap perlawanan yang diharungi. FOTO NAZRI ABU BAKAR
AKMAL mahu memberikan yang terbaik setiap perlawanan yang diharungi. FOTO NAZRI ABU BAKAR
Nazri Abu Bakar


Melaka: Pemain pertahanan Melaka United (MU) Akmal Zahir menyimpan azam melakar sejarah terbaik bersama skuad terbabit musim ini.

Selepas berjaya meletakkan pasukan itu mara ke suku akhir Piala Malaysia keazamannya kini terarah membawa skuad Hang Tuah mara ke separuh akhir.

Menurutnya, sebagai pemain sudah pasti dia mahu memberikan yang terbaik setiap perlawanan yang diharungi namun dia jelas menyimpan tekad untuk menjulang Piala Malaysia bersama skuad terbabit.

Namun buat masa ini anak jati Pendang Kedah itu perlu memfokuskan persefahaman dalam perlawanan terakhir kumpulan berdepan Kedah Darul Aman (KDA) dalam aksi penutup kumpulan C pada 9 November depan.

"Walaupun kini berada di tangga teratas kumpulan namun Melaka perlu menang atau sekurang-kurangnya seri dalam perlawanan itu.

"Jika KDA menang sudah pasti mereka mampu memintas kedudukan untuk muncul juara kumpulan," katanya.

Akmal berkata, jika pasukan kekal juara kumpulan ia boleh mengelakkan pasukan terbabit berdepan Johor Darul Ta'zim (JDT) di suku akhir kelak.

Bagaimanapun, sebagai pemain mereka akan berusaha gigih pada setiap perlawanan dalam masa sama mengekalkan rekod tanpa kalah setakat ini.

Bekas pemain Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) terbabit kini menjadi tunjang utama pasukan Melaka bergandingan bersama Jang Suk Won berjaya membina kubu kukuh pasukan yang kini turut menjadi aset buat skuad itu berdepan mana-mana lawan di suku akhir.

Dia berkata, dia ingin membawa Melaka ke final dan jika boleh menjulang piala kerana kali ini peluang terbaik buat Melaka menerusi prestasi semasa yang memberangsangkan

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 November 2021 @ 8:37 PM