PEMAIN Sri Pahang FC, Manuel Hidalgo cuba disekat pemain Melaka United. -FOTO Ihsan Sri Pahang FC
PEMAIN Sri Pahang FC, Manuel Hidalgo cuba disekat pemain Melaka United. -FOTO Ihsan Sri Pahang FC
Asrol Awang


Kuantan: Sri Pahang FC perlu bangkit mencipta kemenangan jika mahu berada pada kedudukan selesa dalam saingan Liga Super musim ini.

Dengan hanya satu mata daripada tiga perlawanan, skuad kendalian Christophe Gamel perlu lebih garang terutama di bahagian serangan.

Justeru, Gamel meminta anak buahnya bangkit dan bekerja keras untuk meletakkan pasukan itu pada prestasi lebih bagus pada perlawanan akan datang.

"Sepatutnya pemain boleh bermain jauh lebih baik ketika tewas 1-2 kepada Melaka United kelmarin tetapi mereka gagal melakukannya.

"Peluang untuk menambah jaringan ada. Namun, pemain tidak berada pada kedudukan terbaik untuk membolosi gawang lawan.

"Oleh itu pemain perlu lebih bagus terutama dapat menyempurnakan segala peluang yang dimiliki untuk memastikan Sri Pahang beroleh kemenangan," katanya.

Selepas mengharungi tiga perlawanan, Sri Pahang berada di kedudukan ke-11 liga dengan mengutip satu mata.

Satu mata itu diperoleh ketika seri 1-1 berdepan PJ City FC serta tewas kepada Kedah Darul Aman FC (KFDA FC) (0-1) dan Melaka United (1-2).

Kedudukan itu ternyata tidak disenangi penyokong Tok Gajah yang mahu skuad itu bangkit dan beraksi cemerlang.

Sabtu ini, Sri Pahang akan melayan Penang FC yang juga perlawanan ketiga berturut-turut di halaman sendiri seharusnya dimanfaatkan sebaik mungkin untuk mengutip tiga mata.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 April 2022 @ 1:45 PM