ARIF Aiman terima trofi ABK21. FOTO MFL
ARIF Aiman terima trofi ABK21. FOTO MFL
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Bintang muda Johor Darul Ta'zim (JDT), Arif Aiman Hanapi nyata bersyukur dengan kejayaan demi kejayaan yang ditempanya bersama skuad Harimau Selatan sejak 2018 lalu.

Arif yang bakal menginjak usia 20 tahun pada 4 Mei ini bukan saja menjadi watak penting membantu JDT mempertahankan Piala Sultan Ahmad Shah buat kali kelima berturut-turut selepas menewaskan Kuala Lumpur City FC 3-0 di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi.

Malah, di venue sama dia secara rasmi diraikan sebagai pemain Pemain Paling Bernilai (MVP) dalam Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2021 (ABK21) tahun lalu apabila diserahkan trofi MVP kepadanya sebelum bermulanya aksi sumbangsih itu.

"Alhamdulillah terima kasih atas sokongan semua," kata Arif di laman sosial Instagramnya bersama beberapa keping gambar dengan trofi MVP itu.

Pada musim lalu, tonggak kelahiran Pahang itu dinobatkan sebagai pemenang MVP pada majlis ABK21 yang diadakan secara virtual ekoran pandemik Covid-19 yang mencengkap negara sejak dua tahun lalu itu.

Paling menarik, Arif yang dicungkil bakatnya dari Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) itu melakar sejarah menjadi pemain termuda merangkul anugerah utama itu selepas rakan sepasukan, Safawi Rasid melakukannya pada 2018 ketika usia 21 tahun.

Arif yang menjadi antara watak penting JDT menjulang trofi Liga Super buat kali kelapan berturut-turut musim lalu turut meraih Anugerah Penyerang Terbaik dan Pemain Muda Terbaik.

Pemain lincah yang menghasilkan tiga gol dalam 31 penampilan musim lalu itu pernah mengakui, kejayaan yang dikecapi ini tidak akan dicapai tanpa sokongan pemilik JDT yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim serta rakan sepasukan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Februari 2022 @ 5:21 PM