Baddrol Bakhtiar
Baddrol Bakhtiar
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Pemain tengah berpengalaman, Baddrol Bakhtiar mengintai peluang untuk kembali merampas gelaran Pemain Tengah Terbaik dalam Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2021 (ABK21) selepas kali terakhir meraih trofi itu pada musim 2017.

Baddrol yang bakal berhijrah ke Sabah FC pada musim depan mengakui peluang untuk menang tidak semudah yang disangka memandangkan dua bintang Johor Darul Ta'zim (JDT), Natxo Insa dan Afiq Fazail turut dicalonkan bagi merebut gelaran itu.

Namun, dia tidak menolak turut merindui saat merasai kemenangan berharga itu empat tahun lalu sekali gus mengharapkan ABK kali ini akan memberi tuah kepada dirinya untuk cuba kembali mendakap trofi ini selepas tidak tercalon pada musim lalu menyaksikan Safawi Rasid memenangi kategori berkenaan.

"Pertama sekali saya berterima kasih kepada MFL terlebih dahulu kerana berjaya menganjurkan acara ini pada setiap tahun sebagai tanda penghargaan kepada kami dalam karier bola sepak.

"Kalau bercakap pasal calon, semuanya hebat-hebat dan saya sendiri sebenarnya kalau boleh tidak mahu terlepas peluang untuk memenangi semula trofi ini.

"Sebab kali terakhir menang pun tahun 2017, dah lama dah, jadi saya harap tahun ini peluang untuk menang itu ada untuk saya", jelasnya.

Baddrol, Natxo dan Afiq adalah tiga calon terakhir di antara 10 calon bagi kategori Anugerah Pemain Tengah Terbaik yang disaring oleh Ahli Jawatankuasa Saringan ABK21 serta hasil undian daripada 23 jurulatih, 23 ketua pasukan Liga Malaysia dan 23 wakil media yang ditutup pada 21 November lalu.

Afiq Fazail tercalon buat kali kedua manakala Natxo Insa pula dicalonkan buat kali ketiga bagi kategori ini selepas 2017 dan 2018 tidak boleh dipandang rendah selepas masing-masing mempamerkan aksi cemerlang dalam membantu pasukan untuk kekal menjadi juara Liga Super musim ini buat kali kelapan berturut-turut selain mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia.

Safawi pula memenangi kategori ini sebanyak dua kali iaitu pada tahun lalu dan 2018 manakala Mohamadou Sumareh turut memenangi trofi sama pada musim 2019.

Namun, keputusan hanya akan diketahui dalam ABK21 yang akan diumumkan esok bersama 15 kategori lain seperti Pertahanan Terbaik, Penjaga Gol Terbaik, Penyerang Terbaik, Jurulatih Terbaik, Pasukan Terbaik, Fan XI dan lain-lain lagi.

Majlis ABK21 akan disiarkan secara langsung menerusi unifiTV esok, jam 9 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Disember 2021 @ 6:46 PM