Arif Aiman, 19, melakar sejarah menjadi pemain paling muda merangkul anugerah utama itu. FOTO Ihsan MFL
Arif Aiman, 19, melakar sejarah menjadi pemain paling muda merangkul anugerah utama itu. FOTO Ihsan MFL
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Bintang muda Johor Darul Ta'zim (JDT), Arif Aiman Hanapi melengkapkan musim gemilangnya apabila dinobatkan selaku Pemain Paling Bernilai (MVP) pada majlis Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2021 (ABK21) yang diadakan secara virtual, sebentar tadi.

Paling menarik, pemain berusia 19 tahun itu melakar sejarah menjadi pemain paling muda merangkul anugerah utama itu selepas rakan sepasukannya, Safawi Rasid melakukannya pada 2018 ketika usia 21 tahun.

Tonggak sayap itu menerima Anugerah MVP selepas diumumkan oleh Presiden Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan.

Arif yang menjadi antara watak penting JDT menjulang trofi kelapan Liga Super musim ini dan Piala Sumbangsih, selain membantu skuad Harimau Selatan mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia sebelum tewas kepada Kuala Lumpur City FC 2-0 turut mengungguli Anugerah Penyerang Terbaik dan Pemain Muda Terbaik.

Arif pemain lincah yang menghasilkan tiga gol dan tiga bantuan gol dengan 31 penampilan musim ini berkata, kejayaan yang dikecapi ini tidak akan dicapai tanpa sokongan pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim serta rakan sepasukan.

"Alhamdulillah saya dinobatkan sebagai pemenang MVP pada tahun ini dan anugerah ini kali pertama saya menang dalam karier sebagai pemain bola sepak profesional.

"Terima kasih saya ucapkan kepada TMJ (Tunku Mahkota Johor) kerana sentiasa menjadi tulang belakang dan juga kepada jurulatih Benjamin Mora dan barisan kejurulatihan yang lain, kerana sentiasa memberi sokongan dan percaya kepada saya untuk bermain banyak perlawanan pada tahun ini.

"Terima kasih juga kepada rakan sepasukan dan pemain-pemain senior lain yang sentiasa bantu saya ketika saya mula-mula masuk ke dalam pasukan JDT dan tidak dilupa juga kepada semua penyokong saya," katanya yang kini bersama skuad Harimau Malaya bagi mengharungi kempen Piala AFF di Singapura.

Bagi kategori Anugerah Penyerang Terbaik, Arif menafikan cabaran dua lagi calon akhir, Darren Lok (PJ City FC) dan Faisal Abdul Halim (Terengganu FC) manakala bagi kategori Anugerah Pemain Muda Terbaik pula, dia mengatasi dua calon dari Selangor FC iaitu Ahmad Danial Ahmad Asri dan Mukhairi Ajmal Mahadi.

Bagaimanapun Arif tidak keseorangan membawa pulang trofi ABK21 ke kem JDT apabila Matthew Davies meraih gelaran Pertahanan Terbaik buat kali kedua selepas 2017 apabila menewaskan Quentin Cheng (Penang FC) dan Daniel Ting (Kuala Lumpur City FC).

Penjaga gol JDT, Farizal Marlias pula mengatasi pencalonan pemain PJ City FC, Kalamullah Al-Hafiz dan Khairul Fahmi Che Mat (Melaka United FC) untuk merekod gelaran Penjaga Gol Terbaik buat kali keenam selepas 2009, 2015, 2018, 2019 dan 2020.

Selain kejayaan penyerang dari Brazil, Bergson da Silva meraih Kasut Emas menerusi ledakan 30 gol dalam semua pertandingan musim ini, JDT turut gah dengan gelaran Pasukan Terbaik.

Manakala Kuala Lumpur City FC yang mencipta kejutan menjuarai Piala Malaysia sempena ulang tahun ke-100, turut cemerlang di pentas ABK21 apabila pengendalinya, Bojan Hodak menerima Anugerah Jurulatih Terbaik mengatasi pencabar Benjamin Mora (JDT) dan Nafuzi Zain (Terengganu FC).

Turut mengiringi kejayaan jurulatih kelahiran Croatia itu adalah penjaring terbanyak Piala Malaysia 2021 dengan 10 gol, Romel Morales apabila diiktiraf sebagai Pemain Import Terbaik biarpun dicabar hebat Bergson dan Ifedayo Olusegun (Selangor FC).

Sementara itu, kapten Kedah Darul Aman FC, Baddrol Bakhtiar yang mengumumkan perpindahan ke Sabah FC musim depan meraih kejayaan berganda apabila membawa pulang trofi Pemain Tengah Terbaik dan Penjaring Terbanyak Tempatan Liga Super menerusi tujuh gol.

Bagi kategori Pemain Tengah Terbaik, Baddrol mengetepikan cabaran dua pemain JDT, Afiq Fazail dan Natxo Insa.

Seramai 403 daripada 843 pemain disenarai pendek berdasarkan penampilan bersama pasukan masing-masing sebelum dibawa ke Jawatankuasa Saringan ABK21 yang mengundi 10 pemain terbaik mereka dalam setiap kategori.

Pemain dipilih dalam setiap kategori mengikut posisi yang didaftarkan oleh pasukan masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Disember 2021 @ 10:16 PM