PULISIC meraikan jaringan yang disumbangkannya ketika berdepan Lille awal pagi tadi. FOTO AFP
PULISIC meraikan jaringan yang disumbangkannya ketika berdepan Lille awal pagi tadi. FOTO AFP
Reuters

London: Jaringan di setiap separuh masa permainan menerusi Kai Havertz dan Christian Pulisic membolehkan penyandang juara, Chelsea mencatat kemenangan 2-0 ke atas Lille di perlawanan pertama 16 akhir Liga Juara-Juara pagi tadi namun pasukan dari London itu bimbang mengenai kecederaan yang dialami pemain utamanya.

Havertz, yang melakukan dua percubaan di awal permainan, menanduk masuk sepakan penjuru Hakim Ziyech pada minit kelapan dengan bola melantun terlebih dulu ke padang sebelum menerjah di bahagian atas jaring.

Chelsea yang meletakkan pemain yang sedang bergelut, Romelu Lukaku di bangku simpanan, memperoleh gol kedua pada minit ke-63 melalui pemain Amerika Syarikat, Pulisic selepas menerima hantaran daripada N'Golo Kante.

"Mereka bermain dengan baik dan pada separuh masa pertama ia memberi kesukaran buat kami. Sekarang sudah memasuki separuh aksi dan kami harus menang juga pada perlawanan seterusnya.," kata Havertz.

Pasukan dari Perancis itu yang berada di tangga teratas peringkat kumpulan selepas mengatasi Salzburg, VfL Wolfsburg dan Sevilla, membuatkan Chelsea sibuk bertahan dengan melancarkan serangan melalui Renato Sanches, Benjamin Andre serta Jonathan Bamba.

Bagaimanapun, usaha daripada tiga pemain berkenaan dan penyerang Kanada, Jonathan David berjaya disekat terutama melalui pertahanan, Thiago Silva serta penjaga gol, Edouard Mendy.

Chelsea, yang akan berdepan Liverpool dalam perlawanan akhir Piala Liga awal pagi Isnin, mungkin berpuas hati dengan kelebihan dua gol namun mereka mimbang mengenai tahap kecergasan pemain tengah, Matego Kovacic dan Ziyech.

Pasukan bimbingan Thomas Tuchel berdepan masalah keletihan disebabkan jadual padat selepas perlu melalui lima kejohanan bulan ini.

Mereka meraih kejuaraan Piala Dunia Kelab di Abu Dhabi 10 hari lalu dan tiga pemain yang mengalami kecederaan Ben Chilwell, Reece James dan Callum Hudson Odoi mengusung trofi berkenaan di Stamford Bridge sebelum sepak mula.

Mereka juga mencatat kemenangan dalam saingan Piala FA dan liga sebelum aksi pagi tadi serta final di Wembley awal pagi Isnin ini.

"Kami tidak beraksi pada tahap terbaik. Kami tidak mampu menunjukkan aksi agresif dalam beberapa minggu sebelum ini namun menang 2-0 adalah sangat penting. Awal pagi Isnin ini kami berdepan satu lagi kejohanan dan kami harus fokus mengenainya bermula sekarang," kata Havertz.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Februari 2022 @ 9:00 AM