WERNER (dua kanan) mengalami kecederaan hamstring. FOTO AFP
WERNER (dua kanan) mengalami kecederaan hamstring. FOTO AFP
AFP

London: Thomas Tuchel mengesahkan Chelsea kehilangan khidmat Romelu Lukaku dan Timo Werner yang berdepan kecederaan selepas juara bertahan Liga Juara-Juara itu menewaskan Malmo 4-0, hari ini.

Anak buah Tuchel mengatasi wakil Sweden itu di Stamford Bridge menerusi dua sepakan penalti Jorginho dan gol sumbangan Andreas Christensen serta Kai Havertz.

Bagaimanapun kemenangan kedua Chelsea dalam Kumpulan H selepas tewas kepada Juventus pada perlawanan terdahulu, dibayangi dengan kecederaan buku lali penyerang Belgium, Lukaku dan kecederaan hamstring penyerang Jerman, Werner.

Kedua-duanya terpaksa di keluarkan pada separuh masa pertama dan Tuchel perlu menunggu dengan penuh debaran sehingga bilakah mereka boleh kembali beraksi semula bersama pasukan.

"Romelu berdepan masalah buku lali dan kecederaan otot serta hamstring untuk Timo, jadi saya rasa mereka tidak dapat beraksi untuk beberapa tempoh tertentu," kata Tuchel.

"Kami mempunyai banyak lagi perlawanan, jadi sekarang kami perlu mencari jalan penyelesaian."

Ia pasti satu tamparan hebat sekiranya kedua-dua pemain itu diketepikan untuk tempoh yang lama di sebalik jadual padat ketika Chelsea sedang berusaha mengekalkan status selaku pendahulu Liga Perdana dan layak ke pusingan kedua Liga Juara-Juara.

"Kedua-dua mereka sangat berbahaya, mampu mencipta peluang dan menjaringkan gol, jadi kami perlu mencari jalan penyelesaian dan pemain yang menggantikan tempat mereka perlu memanfaatkan peluang sebaik-baiknya serta menjaringkan gol," kata Tuchel.

"Kami memenangi perlawanan sebelum ini bersama Werner dan Lukaku. Kami tidak mahu masalah ini kerap berlaku tetapi ia tidak boleh dielakkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Oktober 2021 @ 8:04 AM