PENJAGA gol  Krasnodar,  Safonov gagal menghalang jaringan Hudson-Odoi. FOTO AFP
PENJAGA gol Krasnodar, Safonov gagal menghalang jaringan Hudson-Odoi. FOTO AFP
AFP

Krasnodar, Rusia: Pengurus Chelsea, Frank Lampard berkata Hakim Ziyech akan membuktikan nilai sebenar selepas bintang Maghribi itu meledak gol pertamanya ketika Chelsea menewaskan Krasnodar 4-0 dalam saingan Liga Juara-Juara.

Jorginho terlepas penalti tetapi Callum Hudson-Odoi meletakkan Blues di depan hasil kesilapan penjaga gol Krasnodar, Matvei Safonov.

Timo Werner meledak penalti pada minit ke-76 untuk menggandakan kedudukan dengan Ziyech dan Christian Pulisic menambah dua lagi gol pada lewat permainan.

"Hakim Ziyech bekerja keras untuk cergas dan saya gembira apabila berjaya mendapatkan kualitinya dalam pasukan, " kata Lampard.

"Prestasinya sangat bagus walaupun tidak beraksi dalam kesebelasan utama sejak Mac selepas liga Belanda tamat.''

PEMAIN Chelsea meraikan jaringan  Ziyech. FOTO AFP
PEMAIN Chelsea meraikan jaringan Ziyech. FOTO AFP

Ziyech berpindah dari Ajax dengan nilai £37 juta (RM199 juta) pada musim panas tetapi terlepas saingan permulaan musim akibat kecederaan lutut.

Pemain berusia 27 tahun itu beraksi sebagai pemain gantian sebanyak tiga kali sebelum menyertai kesebelasan utama di Krasnodar -- perjalanan sejauh 3,500 kilometer dari London.

"Ia detik mengecewakan buat dirinya dan juga kami. Kecederaannya bermakna dia tak boleh bermain tetapi berdasarkan penilaian ketika sesi latihan, saya tahu kualiti dimilikinya dapat membantu kami mencapai impian,'' kata Lampard.

"Dan kami menyaksikannya hari ini dan saya yakin dia akan bertambah bagus. Ramai mungkin terlupa dengannya kerana kami menandatanganinya pada Januari lalu dan terlepas awal saingan tetapi malam ini dia berada di sini."

Chelsea melonjak empat mata di puncak Kumpulan E selepas dua perlawanan, sama mata dengan Sevilla yang menewaskan Rennes 1-0 di Sepanyol.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Oktober 2020 @ 8:46 AM