PENOLONG jurulatih Penang FC, Chong Yee Fatt mahu buka buku baharu bersama skuad itu musim ini. FOTO GHAZALI KORI
PENOLONG jurulatih Penang FC, Chong Yee Fatt mahu buka buku baharu bersama skuad itu musim ini. FOTO GHAZALI KORI
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Selepas kecewa gagal membantu bekas skuadnya, Perak FC kekal beraksi dalam pentas Liga Super musim ini, Chong Yee Fatt yang kini bergelar penolong jurulatih Penang FC tekad untuk buka buku baharu bersama skuad Harimau Kumbang itu musim ini.

Malah bekas pemain Perak itu tanpa berselindung juga akui mahu berguru dengan ketua jurulatih skuad Harimau Kumbang kelahiran Republik Czech, Tomas Trucha dalam misi memperkasakan lagi ilmu kejurulatihannya.

Jurulatih kelahiran Ipoh itu juga berazam untuk membawa skuad Penang FC melakar kejayaan yang lebih baik dalam pentas Liga Malaysia (Liga M) musim ini berbanding musim lalu.

"Musim ini saya hanya mendapat tawaran daripada pasukan Penang FC sahaja dan tanpa ragu-ragu saya terima lamaran itu bagi mengembangkan lagi karier sebagai jurulatih.

"Bagi saya tiada masalah untuk bekerjasama dengan Trucha, malah saya berbesar hati kerana skuad itu masih mahu menggunakan khidmat saya walaupun ia satu tugas yang baharu buat saya.

"Saya lihat saingan liga musim ini semakin mencabar dengan banyak pasukan sudah membuat persiapan rapi, jadi sudah tentu banyak pasukan yang bagus akan muncul dalam saingan ini nanti.

"Bagaimanapun saya tekad untuk membantu Trucha meraih sekurang-kurangnya satu gelaran musim ini biarpun ia satu tugas yang begitu mencabar," katanya ketika ditemui dalam saingan empat penjuru Piala Menteri Besar Terengganu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, minggu lalu.

Ketika ditanya mengenai persiapan pasukannya yang dibarisi ramai muka baharu, bekas penolong jurulatih Kuala Lumpur City FC (KL City FC) itu akui tugas sukar juga menanti barisan kejurulatihan terutama bagi membentuk keserasian antara pemain.

"Saya lihat ramai muka baharu dalam skuad Penang FC musim ini, sudah tentu ia satu tugas sukar terutama untuk membentuk keserasian antara pemain baharu dan sedia ada dalam mengharungi kancah liga nanti.

"Tapi apa yang istimewa yang saya nampak dalam pasukan mereka ada semangat juang yang tinggi dalam diri selain beraksi sebagai satu pasukan, inilah antara kekuatan yang boleh dibanggakan," kata Yee Fatt.

Musim lalu skuad itu menamatkan saingan Liga Super di tangga ketiga liga, namun impian skuad itu untuk beraksi dalam pentas Piala AFC musim ini berkecai selepas KL City FC muncul juara saingan Piala Malaysia menumpaskan Johor Darul Ta'zim (JDT) 2-0.

Aksi pertama skuad itu musim ini bakal menentang juara bertahan Liga Super, JDT pada 4 Mac depan di Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri, Johor.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Februari 2022 @ 5:24 PM