PEMAIN Penang FC meraikan jaringan ketika menentang TFC di Stadium Bandaraya Pulau Pinang. FOTO Danial Saad
PEMAIN Penang FC meraikan jaringan ketika menentang TFC di Stadium Bandaraya Pulau Pinang. FOTO Danial Saad
Firdaus Hashim dan Rizar Md Noor dan Izzali Ismail


Kuala Lumpur: Tiga kelab terbaik Liga Malaysia (Liga M) iaitu Johor Darul Ta'zim (JDT), Kedah Darul Aman FC (KDA) dan Penang FC berpesta atas sebab berbeza selepas kempen liga musim ini melabuhkan tirainya secara rasmi semalam.

Walaupun status juara Liga Super hanya untuk satu pasukan sahaja iaitu milik JDT, dua kelab lagi, KDA dan Penang turut mempunyai sebab meraikan kejayaan menamatkan saingan di tangga kedua dan ketiga.

Selaku juara, skuad Harimau Selatan berjaya membawa pulang hadiah kemenangan berjumlah RM1 juta selain tiket automatik bersaing di pentas tertinggi benua ini iaitu Liga Juara-Juara Asia (ACL) musim depan.

Begitu juga dengan skuad Helang Merah, status selaku naib juara cukup bermakna buat anak didik Aidil Sharin Sahak apabila mereka turut ditawarkan slot ke Piala AFC yang juga kemunculan kali kedua berturut-turut.

Buat skuad Harimau Kumbang pula, kemampuan berada di tangga ketiga sememangnya mengejutkan banyak pihak, apatah lagi perjalanan skuad itu yang penuh ranjau, bermula daripada saingan Liga Perdana musim lalu.

Dalam aksi terakhir malam kelmarin, JDT menewaskan KL City FC 2-1, KDA membenam Melaka United 4-1 manakalaPenang terikat 2-2 dengan Terengganu FC.

Berkongsi detik istimewa itu, pengendali JDT, Benjamin Mora mengakui pengalaman menjuarai Liga Super buat kali kelapan berturut-turut itu nyata mematangkan lagi setiap pemain untuk mencabar lebih banyak kejuaraan selepas ini.

"Inilah cara kami lakukan dan ini juga cara kami melaksanakan dengan latihan yang tersusun bagi membentuk persefahaman taktikal tatkala beraksi di padang kerana semuanya berhubung kait untuk mencapai kejayaan.

"Apapun, kami akan beri yang terbaik dalam saingan Piala Malaysia dan kami harus bersedia kerana pasukan lawan sudah pasti mahu menewaskan kami dalam setiap perlawanan," kata Mora.

Nada sama turut diluahkan pengendali KDA, Aidil Sharin Sahak yang melahirkan rasa syukur di atas pencapaian pemainnya bergelar naib juara.

"Perjalanan kami pada musim ini tidak mudah sebenarnya, ada naik dan ada turun melihat kepada konsistensi pasukan, tambahan pula terdapat pemain penting mengalami kecederaan termasuk dua pemain utama kami yang tidak dapat beraksi kerana mewakili negara masing-masing dalam saingan antarabangsa.

"Namun, saya tetap memuji tahap pencapaian terbaik pemain dengan semangat juang yang mereka tunjukkan sepanjang musim ini, dan saya berharap tempo terbaik ini akan dibawa untuk saingan seterusnya Piala Malaysia nanti," kata Aidil.

Sementara itu, ketua jurulatih Penang, Tomas Trucha mahu menikmati pencapaian membanggakan itu buat masa ini sekalipun mengakui masih ada ruang untuk penambahbaikan bagi menjadi pasukan yang lebih mantap.

"Sebagai pendatang baharu dan berada dalam kedudukan tiga terbaik, ia satu perasaan yang menakjubkan. Mungkin kita boleh jadi lebih baik ataupun lebih buruk tetapi kita kena terus merendah diri.

"Seperti malam ini (semalam), pemain berjuang walaupun beraksi dengan 10 pemain jadi kredit kepada mereka. Terima kasih juga kepada Ketua Menteri kerana melabur untuk pasukan jadi saya harap dia pun turut gembira dengan kejayaan ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 September 2021 @ 9:43 PM