HAALAND (kiri) meraikan kemenangan Dortmund bersama seorang penyokong yang mencerobohi padang. FOTO AFP
HAALAND (kiri) meraikan kemenangan Dortmund bersama seorang penyokong yang mencerobohi padang. FOTO AFP
AFP

Berlin: Erling Haaland meraikan aksi cemerlang dengan penyokong yang mencerobohi padang ketika menumpaskan Mainz 3-1 tatkala dua gol sumbangannya membantu Borussia Dortmund kembali di tangga teratas Bundesliga.

Penyerang Norway itu terlepas dalam empat aksi terakhir Dortmund akibat kecederaan paha namun selepas kembali ketika berdepan Mainz dia meledak dua gol untuk mengumpul keseluruhan sembilan jaringan liga setakat ini.

Pemain berusia 21 tahun itu menambahkan kegembiraan tuan rumah dengan meraikan kejayaan itu dengan seorang penyokong yang mencerobohi padang dan memberikannya jersi sebagai hadiah.

"Erling benar-benar mahu bermain dan dia memberikan segala-galanya di atas padang," kata jurulatih Dortmund, Marco Rose.

"Kami memang merasai ketiadaannya dan ia sangat menakjubkan apabila dia meledak dua gol," kata ketua pasukan, Marco Reus.

Kemenangan itu membawa Dortmund ke puncak liga, memintas Bayern Munich dan Bayer Leverkusen yang akan berentap malam ini.

Reus meledak sepakan separa voli ke penjuru gawang untuk membolehkan Dortmund mendahului pada minit ketiga, sebelum Haaland tenang menyempurnakan penalti untuk menggandakan jaringan selepas rehat.

Jonathan Burkardt cuba merapatkan jurang buat Mainz, namun gol di masa kecederaan oleh Haaland mengesahkan kemenangan dan meneruskan rekod sempurna Dortmund di laman sendiri musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Oktober 2021 @ 9:18 AM