REUS (kanan) alami kecederaan paha.
REUS (kanan) alami kecederaan paha.
AFP

TANPA Marco Reus, Borussia Dortmund bakal menentang Tottenham dalam aksi Liga Juara-Juara tanpa pemain terbaik mereka, menurut legenda Jerman Lothar Matthaeus, hari ini.

Reus sudah menjaringkan 17 gol dan mencipta 11peluang buat pendahulu Bundesliga musim ini tetapi kecederaan paha memaksanya tersisih daripada saingan 16 terakhir dengan aksi peringkat pertama menentang Spurs di Wembley.

"Sekarang dia juga tidak dapat beraksi dalam perlawanan penting menentang Tottenham - sesuatu yang pasti sukar,” kata Matthaeus yang juga bekas kapten Jerman.

"Pasukan ketiga terbaik Liga Perdana menentang yang terbaik di Bundesliga. Saya melihat peluang adalah 50/50.

"Tanpa Marco Reus, Dortmund kehilangan pemain terbaik mereka."

Bagaimanapun, bukan hanya Reus tidak dapat beraksi menentang Spurs. Pertahanan kanan Lukasz Piszczek mengalami kecederaan tumit, pertahanan tengah Julian Weigl diserang selesema dan penyerang, Paco Alcacer turut tidak dapat beraksi akibat kecederaan bahu.

Ketua jurulatih Dortmund, Lucien Favre juga bergelut dengan selesema dan pemain sayap England Jadon Sancho terlupa membawa pasport dan terpaksa bergegas pulang ke rumah sebelum menaiki penerbangan ke London.

"Ya, kami kehilangan beberapa pemain tetapi kami tidak akan ke sana hanya untuk melambai,” kata Pengarah Sukan Dortmund, Michael Zorc.

Reus mengalami kecederaan ketika menentang Werder Bremen dalam aksi Piala Jerman yang menyaksikan Dortmund tewas melalui penentuan penalti.

Matthaeus berkata, keputusan seri 3-3 ketika menentang Hoffenheim di tempat sendiri pada Sabtu lalu menunjukkan betapa Dortmund terjejas tanpa Reus.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Februari 2019 @ 11:36 PM