Pemain Penang FC, Adib Raof berlumuran darah di bahagian hidung ketika insiden pergaduhan malam tadi.
Pemain Penang FC, Adib Raof berlumuran darah di bahagian hidung ketika insiden pergaduhan malam tadi.
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Penang FC tampil mempertahankan tindakan pemainnya, Adib Raof yang dikatakan menjadi mangsa pergaduhan hingga hidungnya berdarah bukanlah punca insiden memalukan itu berlaku.

Sebaliknya, Penang FC menjelaskan Adib sebenarnya cuba meleraikan pergaduhan antara rakan sepasukannya dengan pemain Terengganu FC II (TFC II) ketika aksi terakhir Piala Menteri Besar Terengganu yang berlangsung di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah malam tadi.

Menerusi satu kenyataan media dari Penang FC, gambar Adib yang tular disalah ertikan apabila didakwa memulakan satu bentuk provokasi sebelum mengalami kecederaan serius di bahagian hidung akibat tindakan pemain lawan.

"Kita berharap melalui ujian MRI yang akan dijalankan ke atas pemain berkenaan, tidak membabitkan kecederaan yang boleh menyebabkan beliau tidak dapat bermain dalam mana-mana perlawanan penting dalam tempoh masa yang lama," kata kelab itu di akaun rasmi Facebook Penang FC hari ini.

Dalam kenyataan sama, pengurusan Penang FC turut mengarahkan agar Pengarah Teknikal dan Ketua Jurulatih untuk menyediakan laporan penuh bagi tujuan penilaian dan seterusnya membantu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) atau Liga Bolasepak Malaysia (MFL) jika terdapat keperluan membuat penyiasatan lanjut berhubung insiden berkenaan.

"Pengurusan tidak mendapatkan gambaran tentang persediaan keselamatan dan ketenteraman awam di dalam dan luar stadium jika perlawanan diteruskan.

"Kami perlu membuat suatu pendirian yang tegas apabila berada dalam situasi berkemungkinan terdapatnya kecenderungan keadaan luar kawalan sekiranya perlawanan diteruskan.

"Khuatir dari aspek keselamatan pemain kedua-dua pasukan, khasnya dalam mengelak sebarang kecederaan atau situasi memudaratkan dalam dan luar perlawanan, pengurusan meminta pasukan Penang FC memberikan laluan mudah kepada pasukan tuan rumah untuk memenangi perlawanan itu.

"Tindakan ini sebagai tanda semangat kesukanan dan bagi meraikan kejohanan yang berprestij bagi negeri Terengganu," katanya yang menyaksikan TFC II diberikan kemenangan percuma dan muncul juara Kejohanan Empat Penjuru Piala MB Terengganu 2022.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Februari 2022 @ 6:31 PM