PENJAGA Penang FC, Shafiq Afifi Suhaimi (enam kanan) menenangkan rakannya, Adib (tujuh kanan) yang cedera di muka ketika suasana tegang antara pemain TFC II dan Penang FC. FOTO Bernama
PENJAGA Penang FC, Shafiq Afifi Suhaimi (enam kanan) menenangkan rakannya, Adib (tujuh kanan) yang cedera di muka ketika suasana tegang antara pemain TFC II dan Penang FC. FOTO Bernama
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Insiden pergaduhan membabitkan pemain Terengganu FC II (TFC II) dan Penang FC akan disiasat dan mana-mana pemain yang didapati bersalah bakal berdepan hukuman.

Ia ditegaskan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Mohd Firdaus Mohamed yang mengakui kecewa dengan insiden itu dan pihaknya bakal meneliti laporan penuh perlawanan daripada pegawai bertugas.

Katanya, insiden pergaduhan dalam aksi persahabatan atau kejohanan bersifat jemputan sepanjang tempoh pramusim Liga Malaysia (Liga M) ini adalah di bawah tanggungjawab FAM memandangkan saingan liga kelolaan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) belum bermula.

Lantas, Jawatankuasa Pertandingan FAM akan mendapatkan laporan daripada Komisioner Perlawanan sebelum diserahkan kepada Jawatankuasa Tatatertib FAM untuk tindakan lanjut.

"Kita memandang serius perkara ini (pergaduhan) babitkan pemain ketika perlawanan kerana ia akan mencemarkan imej bola sepak tempatan.

"Disebabkan Liga M masih belum berlangsung yang dikendalikan MFL, jadi perlawanan persahabatan atau pertandingan jemputan adalah di bawah FAM kerana kita yang memberikan kelulusan itu.

"Saya belum menerima laporan lagi, tapi kita akan mendapatkannya daripada pegawai perlawanan sebelum tindakan susulan akan dibuat oleh Jawatankuasa Tatatertib nanti," katanya kepada Arena Metro.

Terdahulu, dalam Pertemuan terakhir Piala Menteri Besar Terengganu antara TFC II menentang Penang FC di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah pada malam tadi dicemari insiden pergaduhan antara pemain kedua-dua pasukan.

Insiden pada minit ke-45 itu menyaksikan perlawanan terpaksa dihentikan pengadil, Mohd Amirul Aizat Mat Lodin selepas sepakan penalti ang diambil kapten pelawat, Endrik Dos Santos gagal disempurnakannya.

Susulan itu berlaku ketidakpuasan hati dalam kalangan pemain Penang FC ketika pemain tuan rumah meraikan kejayaan penjaga gol, Mohd Shafawi Mohamad menepis sepakan itu yang kemudiannya berakhir dengan pergaduhan.

Seorang pemain TFC II, Ridzuan Razali dan pemain pelawat, Muhammad Adib Abdul Ra'op mengalami kecederaan serius di bahagian hidungnya.

Aksi itu yang terhenti kira-kira 45 minit ketika TFC II mendahului 1-0 hasil jaringan Ahmad Nur Rahman Ab Rasid pada minit ke-30 tidak disambung semula pengadil atas faktor tertentu dan tuan rumah dinobatkan sebagai juara Piala Menteri Besar Terengganu selepas menamatkan kedudukan teratas dengan mengutip enam mata hasil tiga perlawanan.

"Saya ingin ingatkan kepada semua pasukan, pemain mahupun pegawai agar menjaga tahap profesional supaya insiden sama tidak berulang.

"Mungkin mereka tidak tahu yang pertandingan jemputan atau persahabatan sebenarnya masih dipantau FAM dan harap insiden sama tidak berlaku lagi," kata Firdaus yang juga Naib Presiden FAM.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Februari 2022 @ 2:41 PM