Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd akan memanggil semua pegawai dan pemain Terengganu FC II (TFC II) yang terbabit dalam insiden pergaduhan ketika pertemuan terakhir Piala Menteri Besar Terengganu menentang Penang FC di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ab Rasid Jusoh berkata, beliau yang kesal dengan insiden memalukan itu dan menyifatkan tidak profesional menuntut mereka yang terbabit memberikan penjelasan lanjut berhubung kejadian itu.

Katanya susulan insiden aksi panas itu, pihaknya telah berjumpa dengan pengurusan skuad Harimau Kumbang untuk memohon maaf atas kekecohan yang berlaku.

"Kami berdoa kecederaan yang dialami seorang pemain Penang FC tidak serius dan boleh meneruskan kariernya sebagai pemain profesional.

"Harapan kami juga insiden itu tidak akan berulang lagi pada masa akan datang dan pemain perlu mengambil iktibar berhubung kejadian itu," jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Susulan aksi panas itu pemain TFC II, Ridzuan Razali dikenakan kad merah oleh pengadil sebelum babak kedua bermula.

Namun keengganan pemain lawan meneruskan permainan pada babak kedua menyebabkan pengadil menamatkan aksi dengan memberikan kemenangan 3-0 kepada TFC II yang ketika itu mendahului 1-0.

Mengulas lanjut, Ab Rasid berkata, merujuk kepada maklumat pegawai yang bertugas serta video rakaman perlawanan, pergaduhan semalam bermula pada minit ke-45 selepas pemain Penang FC tidak berjaya menyempurnakan sepakan penalti dan keadaan itu membuatkan para pemain TFC II meraikan kegagalan tersebut di hadapan pemain Penang FC tanpa sebarang sentuhan dilakukan.

"Seorang pemain Penang FC bertindak balas dengan menumbuk bahagian belakang seorang pemain TFC II dan keadaan ini mencetuskan kekecohan dan disusuli dengan seorang lagi pemain Penang FC melakukan terjahan keras ke atas bahagian belakang badan pemain tuan rumah.

"Salah seorang pemain TFC II bertindak balas dengan turut melakukan terjahan ringan ke atas pemain Penang FC. Keadaan semakin tidak terkawal apabila berlaku pergelutan hampir membabitkan semua pemain.

"Setelah hampir berjaya dileraikan, pemain tuan rumah yang dikejar dua pemain Penang FC bertindak balas untuk mempertahankan diri dengan secara spontan menumbuk muka pemain lawan menyebabkan berlaku pendarahan pada bahagian hidung pemain tersebut.

"Pihak pegawai keselamatan, pegawai pasukan serta pegawai perlawanan seterusnya berjaya mengawal kekecohan yang berlaku dan perlawanan separuh masa pertama ditamatkan sebelum pemain kedua-dua pasukan masuk ke bilik persalinan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Februari 2022 @ 9:09 PM