Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Kejayaan merangkul Piala Menteri Besar Terengganu malam tadi mampu menyuntik semangat pemain menjelang sepak mula Liga Malaysia (Liga M) yang bakal membuka tirainya pada awal bulan depan.

Keyakinan itu disuarakan penolong jurulatih Terengganu FC II (TFC II), Rosdi Talib selepas anak buahnya yang bakal beraksi dalam pentas Liga Perdana berjaya melakar kejutan selepas mengetepikan tiga pencabar Liga Super iaitu Sri Pahang FC, Penang FC dan pasukan 'abang' Terengganu FC (TFC) dalam kejohanan empat penjuru yang berlangsung selama lima hari bermula 5 Februari lalu.

Bekas kapten skuad kebangsaan itu berkata, jika anak buahnya berjaya meningkatkan lagi prestasi, beliau berkeyakinan skuad bimbingannya bersama seorang lagi penolong jurulatih, Subri Sulong dan ketua jurulatih, Badrul Afzan Razali mampu menjadi pencabar utama liga.

"Kejayaan ini begitu manis buat kami walaupun pada awalnya tidak diberikan harapan yang tinggi untuk merangkul kejuaraan Piala Menteri Besar Terengganu ini.

"Jika dilihat momentum permainan yang semakin meningkat selepas tiga perlawanan, begitu juga dengan persefahaman semakin meningkat, ianya petanda yang positif buat pasukan menjelang Liga Perdana nanti.

"Bagaimanapun sejujurnya saya tidak begitu berpuas hati dengan kemenangan pada malam ini (malam tadi) kerana pemain hanya beraksi selama 45 minit selepas berlaku insiden pergaduhan," katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian hadiah di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam tadi.

TFC II muncul Juara pada Kejohanan Bolasepak 4 Penjuru Piala Menteri Besar Terengganu. FOTO Ghazali Kori
TFC II muncul Juara pada Kejohanan Bolasepak 4 Penjuru Piala Menteri Besar Terengganu. FOTO Ghazali Kori

Skuad itu mengutip enam mata untuk menduduki tangga teratas hasil kemenangan 1-0 menundukkan TFC juga jaringan sama ketika menumpaskan Penang FC dengan perlawanan hanya berlangsung selama 45 minit selepas berlaku pergaduhan sebelum pengadil memberikan kemenangan kepada TFC II selepas pasukan Penang FC enggan meneruskan baki perlawanan.

Dengan kejayaan itu, skuad The Turtles berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 manakala pasukan `abang' Terengganu FC (TFC) meraih RM7,500 sebagai naib juara.

Hadiah kepada pemenang disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah.

Mengulas lanjut, Rosdi berkata, beliau sudah mempunyai bayangan kesebelasan utama yang akan membarisi pasukannya musim ini walaupun hampir 50 peratus muka baharu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Februari 2022 @ 5:17 PM