PEMAIN Terengganu FC menjalani latihan di Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak, semalam. FOTO TFC
PEMAIN Terengganu FC menjalani latihan di Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak, semalam. FOTO TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Tiada aksi jelajah pramusim di luar negara buat pasukan Terengganu FC (TFC) dan Terengganu FC II (TFC II) sebelum Liga Malaysia (Liga M) bermula musim ini.

Sebaliknya skuad bersaudara itu akan mengadakan sesi 'pemanas badan' di laman sendiri dalam kejohanan empat penjuru yang bakal bermula pada 5 hingga 11 Februari depan.

Ketua Pegawai Operasi Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd, Mohd Sabri Abas berkata, kejohanan itu akan disertai pasukan TFC, TFC II, Sri Pahang FC dan Penang FC.

"Pada mulanya kita bercadang untuk mengadakan aksi pramusim di luar, namun selepas memikirkan pandemik Covid-19 yang masih belum reda dan ditambah pula dengan varian Omicron, setakat ini kita memutuskan untuk 'berkampung' di Terengganu.

"Kita akan gunakan dua stadium dalam kejohanan itu nanti iaitu Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) di Gong Badak dan Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah (SSINS), Kuala Terengganu dalam kejohanan yang diadakan hampir seminggu itu," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan aksi pramusim itu penting buat barisan jurulatih untuk mengenal pasti dan menilai kekuatan dan kelemahan pasukan lebih-lebih lagi skuad itu dibarisi ramai pemain import baharu.

"Selain itu aksi berkenaan juga bagi memastikan pasukan dan pemain bersedia sepenuhnya daripada segi kecergasan fizikal dan mental selain untuk membentuk keserasian antara pemain.

"Kita harapkan dengan tempoh masa yang ada, jurulatih dan juga para pemain dapat memanfaatkannya dengan sebaik mungkin kerana misi kita adalah untuk memperbaiki kedudukan dalam carta Liga Super, Liga Perdana, Piala Malaysia, Piala FA serta Piala Cabaran selain mengintai peluang beraksi dalam pentas Piala AFC musim 2023," katanya yang memaklumkan skuad berkenaan sudah mula menjalani latihan sejak minggu lalu.

Musim lalu, skuad TFC kendalian Nafuzi Zain hanya mampu menamatkan saingan Liga Super di tempat keempat dan layak ke separuh akhir Piala Malaysia manakala skuad 'adik', TFC II menamatkan saingan di tangga ketiga Liga Perdana.

Selain Nafuzi, musim ini skuad TFC dibantu dua bekas kapten skuad kebangsaan, Hairuddin Omar dan Tengku Hazman Raja Hassan manakala TFC II dibantu juga bekas pemain kebangsaan, Subri Sulong dan Rosdi Talib.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 January 2022 @ 2:22 PM