LATIFF  (kanan) ketika beraksi pada Kejohanan Bolasepak 4 Penjuru Piala YAB Menteri Besar Terengganu. FOTO Ghazali Kori
LATIFF (kanan) ketika beraksi pada Kejohanan Bolasepak 4 Penjuru Piala YAB Menteri Besar Terengganu. FOTO Ghazali Kori
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Kapten Penang FC, Latiff Suhaimi tidak rela 'berputih mata' lagi buat kali kedua berturut-turut selepas kecewa gagal beraksi di pentas Piala AFC musim ini.

Pertahanan berpengalaman berusia 33 itu mengharapkan musim ini bakal memberi sinar baharu buat pasukannya untuk merasai aksi di pentas Piala Asia itu biarpun saingan sudah pasti sengit untuk merebut dua slot berkenaan musim depan.

"Sejujurnya saya begitu kecewa kerana tidak dapat beraksi di pentas Piala AFC musim ini biarpun peluang hampir terbuka untuk merasai kejohanan itu sebelum menjadi milik Kuala Lumpur City FC selepas pasukan itu merangkul Piala Malaysia musim lalu.

"Namun apa boleh buat rezeki tidak memihak kepada pasukan kami biarpun mengakhiri Liga Super di kedudukan ketiga, tapi kami tidak akan sesekali berputus asa dan akan mencuba yang terbaik musim ini untuk mengintai peluang beraksi di pentas Asia itu," kata Latiff ketika ditemui selepas berakhir pertemuan kedua menentang Sri Pahang FC dalam Kejohanan Empat Penjuru Piala Menteri Besar Terengganu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah malam semalam.

Dalam perlawanan itu, skuad bimbingan Tomas Trucha membuktikan kemampuan sebenarnya apabila mudah menundukkan skuad Tok Gajah 3-0 hasil jaringan Casagrander pada minit ke-54, penalti Jafri Firdaus Chew minit ke-74 dan jaringan Abdul Aziz Rahim pada minit ke-89.

Ketika ditanya jika pasukannya gagal membawa masuk seorang lagi tenaga import baharu untuk memenuhi kuota lima pemain, Latiff tidak melihat ketiadaan import itu bakal menjejaskan persiapan pasukannya.

"Tidak dinafikan import dapat membantu pasukan, tapi dengan pemain sedia ada, mereka mampu menggalas tugas berkenaan lebih-lebih lagi ramai pemain baharu, kami yakin mampu menjadi pencabar terkuat liga," katanya.

Dalam satu lagi perlawanan, pasukan 'adik' Terengganu FC II (TFC II) berjaya mengejutkan pasukan 'abang' Terengganu FC (TFC) 1-0 hasil jaringan penalti pemain muda, Muhammad Syaiful Haqim Shahrul pada minit ke-24.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Februari 2022 @ 10:47 PM