INTAN memaklumkan perkara itu menerusi akaun Instagram. -FOTO Instagram@intanserah
INTAN memaklumkan perkara itu menerusi akaun Instagram. -FOTO Instagram@intanserah
Oleh Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Pemain bola sepak wanita negara makin mendapat perhatian kelab luar negara apabila seorang lagi tonggak sensasi kebangsaan, Intan Serah Anisah Zulgafli berjaya melebarkan sayap beraksi di Liga Amerika Syarikat.

Perkembangan itu dikongsikan sendiri oleh Intan Serah apabila mengakui sudah menandatangani kontrak bersama New York Dutch Lions FC dan akan bersaing di Liga Premier Bolasepak Wanita (WPSL).

Jelas pemain skuad Malayan Tigress itu, dia memohon agar peminat bola sepak tempatan dapat mendoakan kejayaannya beraksi di luar negara itu.

"Doakan saya di New York, United States bersama kelab New York Dutch Lions untuk perlawanan disana, Bismillah," katanya yang sudah berlepas ke New York dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, awal pagi tadi.

Kejayaan Intan Serah meraih kontrak itu pastinya membuka lembaran baharu buat pembangunan bola sepak wanita negara yang kini semakin mendapat perhatian peminat tanahair.

Untuk rekod, bekas pemain futsal wanita negara itu adalah pemain wanita pertama beraksi di Amerika Syarikat dan yang ketiga di luar negara.

Sebelum ini, penjaga gol wanita negara iaitu Nurul Azurin Mazlan bermain di Liga India bersama Misaka United FC serta Celine Chuang yang menyertai kelab gergasi Jerman, Bayern Munich pada 2021 lalu.

Dalam perkembangan sama, kelab Intan Serah memuatnaik ucapan tahniah dan mengalu alukan kehadirannya bersama pasukan itu untuk musim baharu.

Menerusi kenyataan di laman sosial kelab itu, pasukan terbabit amat teruja menanti kehadiran pemain negara itu.

"Berlaku sedikit penangguhan kerana visa yang dia perlukan dari kedutaan. Tetapi sekarang, itu semua telah diselesaikan dia boleh memulakan perjalanannya bersama kami.

"Selamat datang ke New York dan kami teruja untuk memiliki anda Intan!," kata kelab itu.

Intan Serah sebelum ini menjadi aset penting dalam pasukan wanita kebangsaan dan kali terakhir beraksi di Sukan Sea Kemboja bulan lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Jun 2023 @ 11:51 AM