GUARDIOLA akan terus memimpin City untuk aksi menentang Newcastle esok. FOTO EPA
GUARDIOLA akan terus memimpin City untuk aksi menentang Newcastle esok. FOTO EPA
AFP

Manchester: Pengurus Manchester City, Pep Guardiola mampu untuk memimpin pasukan bagi aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Newcastle esok selepas ujian Covid-19 menunjukkan beliau negatif.

Guardiola terpaksa membatalkan sidang akhbar praperlawanan semalam selepas keputusan ujian yang dilakukan awal pada hari yang sama belum diketahui.

Bagaimanapun, ujian susulan PCR membuktikan pengendali berkenaan boleh untuk mengendalikan pasukannya di St James Park.

Ia adalah satu daripada lima perlawanan EPL yang masih lagi boleh dijalankan seperti biasa hujung minggu ini tatkala beberapa aksi lain ditangguhkan akibat peningkatan mendadak bilangan kes Covid-19 di Britain.

Guardiola juga mengesahkan tidak ada seorang pun pemainnya diuji positif dalam beberapa hari kebelakangan ini.

"Semua pemain dalam keadaan baik, kecuali Ferran (Torres) yang mengalami kecederaan jangka panjang. Joao Cancelo kembali selepas penggantungan menentang Leeds dan kami akan berkunjung ke Newcastle dengan semua orang bersedia untuk bermain," kata Guardiola.

Kali terakhir pengendali berusia 50 tahun itu muncul di tempat awam adalah ketika mewakili City ketika majlis pengumuman persaraan Sergio Aguero di Barcelona.

Guardiola, yang ibunya meninggal dunia akibat virus itu tahun lalu, lantang mengenai keperluan pemainnya dan orang ramai secara amnya untuk sentiasa berhati-hati.

"Saya bimbang, bukan kerana perlawanan kami dibatalkan atau saingan liga ditangguh tetapi kerana dalam masyarakat virus itu ada di sini dan orang ramai menderita.

"Sesetengah orang, kakitangan di sini, sudah dijangkiti dan kami bercakap dengan pemain hampir setiap hari dan memberitahu mereka untuk berhati-hati - kekal selamat, kekal sihat, (pakai) topeng, jaga jarak sosial," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Disember 2021 @ 10:48 AM