GUARDIOLA (kanan) mahu anak buahnya menang bergaya setiap perlawanan. FOTO/AGENSI
GUARDIOLA (kanan) mahu anak buahnya menang bergaya setiap perlawanan. FOTO/AGENSI
Agensi

PEP Guardiola menegaskan cara terbaik untuk Manchester City memberi tekanan ke atas Liverpool ialah dengan memenangi perlawanan dengan bergaya.

City ketinggalan lima mata di belakang Liverpool selepas mereka tewas di tangan Newcastle, 24 jam sebelum skuad Jurgen Klopp seri 1-1 dengan Leicester.

Guardiola menerima kunjungan Arsenal awal pagi esok dan mampu mengurangkan jurang mata kepada dua sebelum The Reds menentang West Ham pada awal pagi Selasa.

Pengurus City itu tahu betapa pentingnya meraih tiga mata di Etihad tetapi beliau juga mahu menghantar isyarat kepada rakan sejawatannya di Liverpool.

"Anda menghantar mesej cara anda bermain, jadi pihak lawan dan pengurus mereka menonton aksi kami dan melihat betapa bagusnya kami beraksi.

"Itu cara terbaik memberi tekanan kepada lawan. Bukan mata, sebaliknya cara anda bermain. Sepanjang masa ia sama dan itu akan kami praktikkan menentang Arsenal malam ini.”

Guardiola membawa kejayaan liga bersama Barcelona, Bayern Munich dan City tetapi ketika itu mereka mendahului carta liga sepanjang musim.

Beliau kini mahu membawa City muncul juara dari belakang buat pertama kali tetapi mahu memastikan pemainnya terlebih dahulu kekal dengan falsafahnya.

"Saya lebih suka seperti musim lalu tetapi kali ini sukar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Februari 2019 @ 10:43 AM