GUARDIOLA (kanan) masih gagal membantu Man City memenangi Liga Juara-Juara. FOTO Reuters
GUARDIOLA (kanan) masih gagal membantu Man City memenangi Liga Juara-Juara. FOTO Reuters
AFP

London: Pep Guardiola menegaskan tempohnya sebagai pengurus Manchester City 'tidak lengkap' jika dia gagal memenangi Liga Juara-Juara.

Guardiola sudah memenangi sembilan trofi utama sebagai pengurus City, termasuk empat gelaran Liga Perdana Inggeris tetapi dia masih gagal membawa trofi paling berprestij kelab Eropah itu ke Stadium Etihad.

Pengendali berusia 51 tahun itu membimbing Barcelona memenangi dua kejuaraan Liga Juara-Juara ketika menjadi pengurus gergasi Sepanyol itu selepas memenangi Piala Eropah sebagai pemain bersama kelab berkenaan pada 1992.

Pencapaian paling terbaik Guardiola sepanjang membimbing City adalah apabila mereka muncul naib juara pada 2021 selepas tewas 0-1 kepada seteru utama di Liga Perdana Inggeris, Chelsea.

Guardiola, yang bulan lalu melanjutkan kontrak bersama City sehingga akhir musim 2024/25, berazam untuk membawa kelab itu meraih trofi utama Eropah kali kedua selepas City pernah memenangi Piala Pemenang Eropah yang kini tidak wujud lagi.

Saya akui ia adalah trofi yang kami mahukan dan sudah tentu tempoh saya di sini tidak akan lengkap jika kami tidak memenanginya.

"Ia bukan satu-satunya sebab saya melanjutkan kontrak. Tetapi saya akan melakukan segala-galanya sepanjang membimbing kelab ini dan saya berulang kali menyatakannya sebelum ini.

"Ia adalah trofi yang belum kami menangi dan kami akan cuba melakukannya," katanya.

City yang mara sehingga ke separuh akhir Liga Juara-Juara musim lalu, akan meneruskan pemburuan memenangi piala berprestij itu dengan bertemu RB Leipzig pada pusingan 16 terakhir, Februari depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Disember 2022 @ 8:21 AM