NEYMAR mengalami kecederaan buku lali dan retak tulang metatarsus. FOTO/AFP
NEYMAR mengalami kecederaan buku lali dan retak tulang metatarsus. FOTO/AFP
AFP

PARIS: Bintang Paris Saint-Germain Neymar mengalami kecederaan buku lali dan retak tulang metatarsus apabila diusung keluar daripada perlawanan menentang Marseille semalam, menurut pendahulu Ligue 1 itu.

Pemain Brazil yang menyertai PSG dari Barcelona dengan bayaran rekod tertinggi dunia tahun lalu, kini dikhuatiri tidak dapat beraksi untuk aksi kedua 16 pasukan terakhir Liga Juara-Juara menentang Real Madrid di Parc des Princes, 6 Mac ini.

PSG ketinggalan selepas tewas 1-3 pada perlawanan pertama di Sepanyol dengan harapan untuk menjulang Liga Juara-Juara buat kali pertama turut berdepan tamparan hebat berikutan pengesahan kecederaan Neymar.

“Pemeriksaan tambahan yang dilakukan (imbasan ultrasound dan CT) mengesahkan kecederaan di buku lali kanan namun turut dikaitkan dengan tulang metatarsus kelima,” kata PSG dalam satu kenyataan ringkas.

Neymar hampir pasti tidak akan beraksi pada aksi suku akhir Piala Perancis menentang Marseille awal pagi Khamis ini juga kunjungan ke Troyes dalam aksi Ligue 1 hujung minggu ini, disusuli pertembungan dengan Real tiga hari kemudian.

Kelab itu yang mendahului Ligue 1 dengan kelebihan 14 mata, turut memberitahu bek tengahnya Marquinhos mengalami kecederaan otot kaki.

Neymar, 26, dibawa keluar dalam kesakitan menjelang akhir perlawanan yang menyaksikan PSG menang 3-0, selepas dilihat memegang buku lalinya sambil menahan kesakitan.

Ketika perlawanan dilihat menyebelahi mereka, Neymar mula dirawat dan dibawa keluar dan PSG terpaksa menghabiskan perlawanan dengan 10 pemain selepas membuat semua pertukaran.

Neymar  sendiri memuat naik gambar kaki kanannya yang berbalut di Instagram. "08:10. Habis untuk hari ini,” menurut keterangan gambar.

"Saya tidak gembira dengan kecederan Neymar dan saya harap dia akan kembali untuk perlawanan ini. Saya tidak mahu pemain lawan saya cedera,” kata pengendali Real, Zinedine Zidane mengulas perkara itu hari ini.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Februari 2018 @ 10:34 AM