Pemain Paris Saint-Germain bersama trofi dimenangi. FOTO AFP
Pemain Paris Saint-Germain bersama trofi dimenangi. FOTO AFP
Neymar penjaring gol tunggal PSG. FOTO AFP
Neymar penjaring gol tunggal PSG. FOTO AFP
AFP

NEYMAR menjaringkan gol tunggal kemenangan ketika membantu Paris Saint-Germain menewaskan Saint-Etienne yang beraksi dengan 10 pemain, 1-0 dalam saingan final Piala Perancis pagi ini.

Bagaimanapun, jurulatih Thomas Tuchel pastinya bimbang menantikan tahap kecergasan Kylian Mbappe menjelang perlawanan suku akhir Liga Juara-juara berdepan Atalanta bulan depan selepas bintang Perancis itu mengadu kesakitan pada babak pertama berikutan mengalami kecederaan pergelangan kaki.

Pemain yang memenangi Piala Dunia itu kemudiannya kelihatan menggunakan tongkat berikutan terjahan keras oleh kapten Saint-Etienne, Loic Perrin.

"Semua orang bimbang. Semua orang yang melihat kekasaran itu risau. Sudah tentu saya sangat bimbang," kata Tuchel.

"Saya sangat gembira kerana kami menang tapi kami harus bersabar kerana tidak mendapat sebarang maklum balas. Saya fikir dia akan menjalani beberapa pemeriksaan malam ini."

PSG berpeluang merangkul tiga trofi buat pertama kali pada musim panas ini, selepas melebarkan rekod kemenangan dalam Piala Perancis buat kali ke-13 disusuli aksi final Piala Liga berdepan Lyon pada Jumaat depan sebelum meneruskan saingan kempen Eropah di Portugal.

"Ia sangat sukar, sekalipun ia perkara yang hebat," tambah Tuchel, di mana pasukannya dianugerahkan kejuaraan Ligue 1 pada April lalu selepas liga musim ini ditamatkan lebih awal berikutan pandemik Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Julai 2020 @ 7:52 AM